
SAMBUTAN PERAYAAN PELBAGAI BANGSA BERI IMPAK POSITIF KEPADA PERPADUAN KAUM DI KEDAH
ALOR SETAR (22 April 2025) – Semenjak Kerajaan Perikatan memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah, hal ehwal masyarakat Cina, India dan Siam tidak pernah di anak tirikan. Pelbagai program yang bersifat keagamaan dan kebudayaan masyarakat Cina, India dan Siam di negeri ini dapat dilaksakanan degan harmoni.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen berkata pada tahun 2024, Kerajaan Negeri telah mengadakan program-program Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah, Sambutan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah, Sambutan Loy Kratong Peringkat Negeri Kedah, Sambutan Pesta Tanglung Peringkat Negeri Kedah, Sambutan Deepavali dan Thaipusam Peringkat Negeri Kedah
“Usaha yang sama juga diadakan pada tahun 2025, beberapa buah program telah diadakan antaranya Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di atas Jambatan Muhibah, Alor Setar dan Sambutan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Wat Thammasiriwararam, Kg Kura, Mukim Jeneri, Daerah Sik.
“Sementara itu, Kerajaan Negeri turut komited memberikan sumbangan kewangan kepada persatuan-persatuan penganut dan pertubuhan-pertubuhan yang berdaftar yang berhasrat untuk menganjurkan program sambutan perayaan keagamaan dan kebudayaan di peringkat kawasan atau pun mukim. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah sentiasa prihatin terhadap hal ehwal dan kebajikan masyarakat Cina, India dan Siam,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan oleh ADUN Belantek, Ahmad Sulaiman yang meminta dinyatakan berapakah jumlah program yang dilaksanakan melibatkan masyarakat Cina, India dan Siam dan sejauh manakah kejayaan dan impak program berkenaan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di Kedah semenjak pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Dewan Undangan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Wong turut menjelaskan bahawa antara impak yang dapat dilihat daripada penganjuran program-program berkenaan adalah sikap perpaduan sesama kaum. Sebagai contoh, program Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah Tahun ini di mana Tuanku Sultan Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah telah mencemar duli turut hadir menyempurnakan perasmian majlis berkenaan. Majlis gilang gemilang berkenaan telah menarik ramai pengunjung bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina malah turut dihadiri oleh pelbagai kaum di Negeri Kedah. Ini menunjukkan bahawa semangat perpaduan yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Negeri Kedah.
“Dengan penganjuran lebih banyak program-program sedemikian akan memberikan peluang kepada masyarakat majmuk di Negeri ini untuk mempelajari keunikan sesuatu budaya masyarakat.
“Program sedemikian perlu ditambah lagi di masa akan datang kerana sambutan yang julung kali diadakan dan disertai oleh keluarga Diraja mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengunjung kerana dapat sama-sama meraikan sambutan berkenaan serta beramah mesra dengan keluarga Diraja,” ujarnya.
Bagi menjawab soalan tambahan dari ADUN Belantik berkenaan penglibatan pemimpin masyarakat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai kaum dalam merancang atau melaksanakan program kerajaan atau program merapatkan hubungan antara kaum, Wong berkata penglibatan pemimpin masyarakat atau pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dari kaum Cina, India dan Siam dalam merancang atau melaksanakan program kerajaan atau program merapatkan hubungan antara kaum adalah sangat baik dan aktif.
“Sebagai contoh, bagi perayaan Pesta Songkran pada Tahun 2025, selain dari sambutan Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Wat Thammasairivararam, Kampung Kura Daerah Sik, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan kepada beberapa buah wat dan persatuan masyarakat Siam di daerah Padang Terap, Baling dan juga Pendang. Justeru, ia menunjukkan bahawa, pemimpin kaum dan NGO dari kaum-kaum bukan Melayu sangat aktif dan menunjukkan komitmen yang sangat baik dalam menganjurkan program-program yang dapat merapatkan hubungan sesama kaum.
“Selain itu, Kerajaan Negeri pada Tahun 2025 telah meluluskan peruntukan kepada masyarakat India dari pelbagai Daerah dalam Negeri Kedah seperti Kuil Sri Subramaniya , Sungai Petani, Kuil Nattukottai , Kulim, NGO-NGO seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Kaum India Daerah Kuala Muda, Malaysia Hindu Sangam Negeri Kedah, Persatuan Kawan-kawan Kaum India Negeri Kedah bagi tujuan penganjuran sambutan Thaipusam di kawasan dan mukim masing-masing.
“Hal ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan menyambut baik hasrat persatuan, pemimpin kaum dan NGO dari kaum bukan Melayu untuk menganjurkan program keagamaan atau kebudayaan yang dapat memupuk semangat perpaduan sesama penduduk dan merapatkan silaturrahim sesama mereka,” tambahnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed