
KERAJAAN NEGERI SENTIASA CAKNA DALAM MENAMBAH BAIK PEMBANGUNAN BELIA DI NEGERI KEDAH
ALOR SETAR (21 April 2025) – Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan prihatin dalam usaha menambah baik pembangunan belia di Negeri Kedah. Oleh itu, untuk tahun 2025 Kerajaan telah memperuntukkan bajet dibawah Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan khusus untuk melaksanakan program-program belia sebanyak RM100 ribu. Sekretariat ini berfungsi untuk menyelaraskan program-program belia di bawah tiga teras utama iaitu Program Pembangunan 3K (Kemahiran/ Keusahawan/ Kompetensi @inovasi), Membina Kepimpinan dan Kefahaman Demokrasi, Kesihatan dan Kesejahteraan.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata peruntukan bagi pemerkasaan belia di bawah Fokus Ke – 11 Bajet Negeri tahun 2025 yang dibentangkan Menteri Besar di bawah skop Belia, Sukan dan Pembangunan Insan iaitu pemerkasaan peranan dan pembangunan belia di negeri Kedah diperkukuhkan melalui sebuah sekretariat belia negeri yang wujud atas nama Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah. Sekretariat ini berfungsi tanpa apa-apa elaun tetap atau lebih tepat secara sukarela.
“Melalui peruntukan khas yang disalurkan oleh pihak kerajaan, Sekretariat Belia Negeri dilihat mampu bergerak lebih lancar dan mencapai aspirasi dalam usaha pembangunan belia. Justeru, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Belia dan Sukan sentiasa cakna dan mengambil perhatian usaha melahirkan genarasi pelapis yang aktif, sihat, berwawasan, bersatu-padu dan berdaya saing sejajar dengan arus pembangunan pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawap pertanyaan lisan oleh ADUN Gurun, Badrol Bakhtiar berkenaan sejumlah peruntukan yang diperuntukan oleh kerajaan bagi memperkasakan belia di negeri ini melalui sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah dan Apakah perancangan kerajaan bagi memperkasakan belia bagi tahun ini dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Dewan Undangan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, bagi memperkasakan golongan belia di negeri ini, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah memperkenalkan Program Skill Belia Sejahtera. Program Latihan Kemahiran merupakan sebuah program untuk membantu golongan belia dan pelajar lepasan SPM di negeri Kedah yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian dimana-mana institusi pendidikan. Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd. (KTechno) iaitu anak syarikat milikan penuh Kulim Technolgy Park Corporation Sdn Bhd (KTPC).
“Pada tahun 2024, seramai 25 orang pelatih yang merupakan perintis kumpulan pertama di bawah “Program Skill Sejahtera” yang ditaja oleh Kumpulan PKNK. Jumlah tajaan Kumpulan PKNK ini telah meningkat kepada 50 orang pelatih atau bersamaan RM500 ribu pada tahun 2025.
“Tujuan program ini adalah untuk menampung keperluan tenaga kerja mahir selaras dengan pembangunan industri di Malaysia. Pelatih-pelatih ini setelah tamat pengajian akan diberi peluang untuk menjawat jawatan di kilang-kilang sekitar Kulim Hi-Tech Park. Selepas tamat latihan, 90 peratus daripada pelatih ini ditawarkan peluang pekerjaan di KHTP,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed