
INISIATIF TANAM PADI LIMA KALI DUA TAHUN MAMPU JAMIN KESTABILAN BERAS NEGARA – SULTAN KEDAH
ALOR SETAR (20 April 2025) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di kawasan jelapang padi. Ia sebagai usaha memastikan keterjaminan bekalan beras Negara.
Sehubungan itu, Baginda menyarankan agar pihak MADA dan MARDI meningkatkan usaha melaksanakan teknologi pertanian moden khususnya dalam penghasilan benih padi yang berkualiti serta penggunaan jentera moden. Namun begitu, Baginda berharap kawasan luar jelapang padi juga perlu sama diberikan perhatian yang serius agar jumlah pengeluarlan padi dapat ditingkatkan.
“Penghasilan padi bergantung kepada sumber air dari kawasan hutan tadahan air yang turut menyokong keperluan domestik dan industri. Justeru, Kerajaan Negeri perlu tegas melindungi kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai jaminan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat disamping menjamin pengekalan pelbagai spesis flora dan fauna,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Dewan Undangan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah; Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Baginda juga menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat agar dapat memainkan peranan membantu Kerajaan Negeri merancang dengan melihat kepada kekuatan negeri yang boleh dioptimumkan. Ianya perlulah sejajar dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Gagasan ‘The Greater Kedah’ demi kelangsungan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat di Negeri Kedah.
“Selain merencana pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat adalah nadi penting bagi sebuah kerajaan yang baik dan stabil.
“Sehubungan itu, bagi merealisasikan pembangunan yang dirancang dan menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan Beta hendaklah meningkatkan hasil pendapatan negeri. Dalam masa yang sama, Beta ingin menegaskan kepada pihak yang terlibat untuk memastikan ketirisan hasil negeri dapat diminimumkan kerana ianya akan menyebabkan kerugian hasil kepada Kerajaan Negeri. Tindakan penguatkuasaan secara berterusan hendaklah dilaksanakan dan hukuman tegas haruslah dikenakan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Baginda juga telah disembah maklum bahawa untuk tahun 2024, Negeri Kedah telah berjaya mencatat kedudukan tempat keempat dalam negara, dengan jumlah keseluruhan pelaburan masuk sebanyak RM45.8 bilion, berbanding RM28.7 bilion bagi tahun 2023. Beta berharap prestasi baik ini dapat diteruskan di tahun-tahun yang akan datang agar ekonomi negeri terus kukuh dan berdaya mampan.
“Beta amat menyarankan agar kawasan perindustrian yang sedia ada diperkasakan, dan pada masa yang sama meneroka kawasan-kawasan baharu yang berpotensi untuk dimajukan. Dalam hal ini, kerajaan Beta disarankan untuk merancang kawasan perindustrian baharu, khususnya di daerah Bandar Baharu dengan mengambil peluang dan manfaat daripada limpahan pembangunan kawasan industri baharu di negeri yang bersempadan dengan Negeri Kedah.
“Dengan mengambil kira konsep ‘supply and demand’, Kerajaan Negeri dan Persekutuan hendaklah memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang lengkap. Apabila ekosistem pelaburan dapat diwujudkan, barulah pelabur berminat untuk datang ke Negeri Kedah.
“Kedudukan Negeri Kedah yang berjiran dengan Negara Thailand juga hendaklah dimanfaatkan melalui pembangunan bandar sempadan yang melibatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan rentas sempadan khususnya sebagai hub logistik dan industri. Beta berharap Kerajaan Negeri dan agensi yang berkaitan dapat mengambil tindakan proaktif dan lebih agresif untuk membawa masuk pelabur ke kawasan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone,” ujar Baginda.
Terdahulu Baginda Tuanku Sultan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama di Dataran Wisma Darul Aman yang terdiri dari tiga Pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Ke-6, Rejimen Askar Melayu DiRaja yang diketuai Mejar Mohd Afiq Ismail, Pegawai Panji-panji, Leftenan Muda Muhamad Alif Izzuddin Nasirudin dan Sarjan Mejar Rejimen Panji-panji, Pegawai Waran I, Hermi Bakry serta diiringi oleh persembahan pancaragam gabungan dari Batalion Ke-2 dan Ke-6 Rejimen Askar Melayu DiRaja di bawah pimpinan Drum Major, Sarjan Azril Aziz.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed