
8 WAT SIAM DI KEDAH DAPAT PERUNTUKAN RM70 RIBU SEMPENA SAMBUTAN PESTA SONGKRAN 2025
SIK (19 April 2025) – Pesta Songkran bukan sekadar sambutan kebudayaan masyarakat Siam, malah diangkat sebagai salah satu produk pelancongan unik Negeri Kedah sempena Tahun Melawat Kedah 2025. Sambutan ini menjadi antara daya tarikan utama yang mampu memperkenalkan kekayaan budaya tempatan kepada pelancong dalam dan luar negara. Dengan mengetengahkan elemen-elemen seperti upacara keagamaan, permainan tradisional, persembahan seni budaya serta adat menghormati orang tua, Pesta Songkran menawarkan pengalaman pelancongan yang autentik dan bermakna. Inilah nilai budaya yang memperkukuh identiti kita bersama sebagai rakyat negeri Kedah yang berbilang bangsa tetapi bersatu hati.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam Dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen berkata Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besar Kedah sentiasa prihatin terhadap hal ehwal masyarakat Siam di negeri ini.
“Masyarakat Siam telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada keharmonian, pembangunan dan kekayaan budaya negeri Kedah. Justeru, pelbagai inisiatif telah dan akan terus dilaksanakan bagi memastikan kebajikan, pendidikan, ekonomi dan pembangunan komuniti masyarakat Siam sentiasa diberi perhatian.
“Suka saya maklumkan di sini bahawa Kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan peruntukan kewangan kepada lapan buah Wat di seluruh Kedah sempena sambutan Songkran pada tahun ini, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM70,000.
“Bagi menyokong pendidikan agama dan budaya masyarakat Siam, Kerajaan Negeri turut meluluskan bantuan kewangan bagi Peperiksaan Kelas Dhamma Tahun 2025 yang telah diadakan di Wat Teluk Wanjah pada bulan Februari yang lalu. Selain itu, Tabung Pendidikan Wat Kura turut menerima bantuan berjumlah RM5,000,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya mewakili Menteri Besar Kedah sempena Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2025 di Wat Thammasiriwararam, Kampung Kura di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Speaker DUN Kedah, Abdul Razak Khamis; Pegawai Daerah Sik, Faisal Rizal Mohammad dan Pengerusi Wat Thammasiriwararam, Sompoorn a/l See Rak.
Dalam perkembangan sama, Wong berkata Songkran merupakan perayaan Tahun Baharu tradisional masyarakat Siam. Masyarakat Siam di Negeri Kedah turut menyambut perayaan ini yang dikenali juga sebagai Pesta Songkran. Ianya disambut mengikut kalendar lunar Siam, iaitu pada bulan kelima ketika bulan purnama, biasanya jatuh sekitar pertengahan bulan April dalam kalendar Masihi.
“Pesta Songkran juga terkenal sebagai “Pesta Mandi Air”, di mana masyarakat akan menyimbah air sesama mereka sebagai simbol penyucian diri, keberkatan, dan permulaan yang baharu.
“Penganjuran Program Sambutan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah pada tahun ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Jawatankuasa Wat Kura. Program ini memberi ruang kepada masyarakat Siam di Kedah untuk meraikan perayaan tradisional mereka, di samping membuka peluang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk mengenali budaya masyarakat Siam dengan lebih dekat,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed