
KEDAH SASAR 100 RIBU PENGUNJUNG MERIAHKAN LUNA LIGHTS WONDERLAND
ALOR SETAR (09 April 2025) – Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Red Bear Event (RBE) menganjurkan Acara Luna Lights Wonderland atau Pesta Lampu Terbesar Malaysia sempena Tahun Melawat Kedah (TMK2025) berkonsepkan intraktif dan mesra keluarga. Acara yang paling besar di Malaysia dan Asia Tenggara serta diiktiraf oleh ‘Malaysia Book of Record’ ini diadakan di Negeri Kedah selama sebulan mulai 4 April sehingga 4 Mei 2025 turut mendapat kerjasama dari Experience Kedah, Mai Singgah Alor Setar-Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata pesta cahaya ini dianjurkan selama sebulan dengan sasaran 80 ribu hingga 100 ribu pengunjung. Saya berharap agar sasaran tersebut dapat dicapai kerana penganjurannya kena pada masanya kerana ianya bukan sahaja dapat menambahkan lagi keceriaan menyambut Aidilfitri tetapi juga menyumbang kepada kerancakan TMK2025.
“Pada malam ini, saya hadir merasmi dan menyaksikan sendiri pesta lampu ini dengan penuh keterujaan, dimana Taman Jubli Emas ini disirami cahaya dalam pelbagai bentuk dan warna yang menakjubkan. Oleh itu, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak penganjur yang memilih Alor Setar ini untuk diadakan Pesta Cahaya Terbesar pada bulan ini.
“Kesempatan ini juga saya mengajak semua orang ramai bukan sahaja rakyat dalam Negeri Kedah tetapi kepada seluruh pelawat dan pelancong dari dalam dan luar Kedah termasuk rakan taulan di negeri-negeri jiran kita untuk sama-sama hadir dan merasakan sendiri pengalaman yang unik dengan limpahan cahaya dan lampu-lampu berwarna-warni serta dapat merakamkan gambar kenangan bersama kawan-kawan dan ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Acara Luna Lights Wonderland di Taman Jubli Emas, Suka Menanti di sini, hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya; Penolong Pengarah BPEN Kedah, Mohd Juwaidi Mahmood; Pengurus Besar Kedah Tourism, Zaidy Omar; Pengarah Pemasaran RBE, Divyan dan Pengurus Perniagaan Dan Pembangunan RBE, Nabilah Afifah Mohd Fekeri.
Luna Lights Wonderland telah menjelajah seluruh Malaysia dengan persembahan pesta lampu sebanyak 13 buah stesen dan berakhir di Alor Setar sebagai stesen ke-13. Sebanyak tujuh tema telah dipilih pada kali ini iaitu Aidilfitri, Haiwan, Hutan Misteri, Percintaan, Angkasa, Akuatik dan Kucing dengan pencahayaan sebanyak 1.6 juta biji LED, Aurora River, Laser Space, Terowong “LOVE”, Terowong “STARWARS”, Terowong “AVARTA”, gerai makan dan permainan.
Para pengunjung yang ingin masuk dan menikmati acara ini akan dikenakan tiket sebanyak RM12.00 bagi dewasa dan RM6.00 bagi kanak-kanak 12 tahun kebawah, manakala percuma untuk pemegang kad OKU dan ianya dibuka bermula jam 7.00 petang hingga 12.00 malam.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed