
KERAJAAN NEGERI RAI ATLET DAN PEGAWAI NEGERI KEDAH
ALOR SETAR (26 Mac 2025) – Kerajaan Negeri Kedah meraikan kejayaan atlet negeri dengan pemberian ganjaran kepada atlet dan pegawai sempena Temasya SUKMA XXI, PARA SUKMA XXI Sarawak 2024, Para ASEAN Games 2023 dan Olimpik Paris 2024.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata saya sangat memuji semangat juang kontinjen Kedah yang berjaya membawa pulang 68 pingat dalam SUKMA XXI dan 42 pingat dalam PARA SUKMA XXI serta penghormatan harus diberikan kepada jaguh badminton negara, Lee Zii Jia yang juga anak jati Negeri Kedah atas kejayaannya meraih pingat gangsa di Olimpik Paris 2024.
“Ganjaran ini diberikan berdasarkan pencapaian para atlet dimana pemenang pingat emas SUKMA menerima RM3,000 bagi kategori individu. Selain itu, ganjaran turut disalurkan kepada atlet Kedah yang membantu Malaysia meraih kejayaan di Para ASEAN Games 2023. Secara keseluruhan, jumlah ganjaran yang diberikan adalah sebanyak RM 316,450.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong para atlet dan berharap mereka dapat terus mencipta kejayaan, termasuk menjadi wakil pertama Malaysia meraih emas di Sukan Olimpik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyampaian Ganjaran Kepada Atlet dan Pegawai Sempena Temasya SUKMA XXI, PARA SUKMA XXI Sarawak 2024, Para ASEAN Games 2023 dan Olimpik Paris 2024 di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup dan Belia & Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Zulzuraidy Othman.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata ganjaran ini merupakan insentif Kerajaan Negeri dalam menyokong pembangunan dan kejayaan atlet secara berterusan. Ia juga melambangkan janji kerajaan negeri dalam menghargai setiap usaha dan sumbangan atlet yang mengharumkan nama Negeri Jelapang Padi ini.
“Insentif ini juga diharapkan dapat memberi inspirasi kepada generasi atlet masa hadapan agar lebih berusaha dalam mencapai kejayaan untuk negeri ini dan juga negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah turut mengambil kesempatan dalam ucapannya dengan mengumumkan bahawae Kerajaan Negeri sebulat suara meluluskan cuti peristiwa pada Ahad, 30 Mac 2024 sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed