
SULTAN KEDAH BERKENAN MENYEMPURNAKAN MAJLIS AGIHAN ZAKAT TAHUN 2025
ALOR SETAR (24 Mac 2025) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli berkenan berangkat hadir menyempurnakan Majlis Agihan Zakat dan Berbuka Puasa Tahun 2025 di Dewan Utama Kompleks Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Mergong.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata pada petang ini, Tuanku Sultan sudi mencemar duli bagi menyempurnakan majlis seperti Penyerahan Zakat Perniagaan oleh tiga buah syarikat korporat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5.46 juta, Penyerahan Wakalah Agihan Zakat, Majlis Kurniaan Agihan Zakat Keseluruhan bagi Tahun 2025 mengikut sektor, Majlis Kurniaan Agihan Zakat Fitrah bagi tahun 2025 dan Gimik Pelancaran Sedekah Lembaga Zakat Negeri Kedah.
“Majlis ini merupakan majlis tahunan yang diadakan bagi mempromosikan kepada masyarakat awam berkaitan jumlah peruntukan dan skim agihan zakat yang akan diagihkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi tahun 2025 di samping penyerahan agihan zakat fitrah kepada golongan asnaf bagi tahun 1446H/2025M oleh Tuanku Sultan.
“Pada tahun ini, LZNK telah menetapkan satu sasaran yang tinggi untuk mengagihkan dana zakat iaitu sebanyak RM 417,112,738 kepada golongan asnaf yang layak di seluruh negeri Kedah. Sehingga hari ini, LZNK telah pun berjaya mengagihkan zakat sebanyak melebihi RM90 juta kepada asnaf melalui pelbagai skim dan saluran.
“Daripada jumlah sasaran agihan tersebut, LZNK telah meletakkan tumpuan kepada 5 sektor utama dalam agihan zakat, iaitu sektor makanan dan sara hidup, sektor pendidikan, sektor tempat tinggal, sektor kesihatan dan sektor kebajikan asnaf. LZNK telah mengambil langkah proaktif bagi mencari sumber dana-dana baharu selain zakat untuk memastikan keperluan agihan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Agihan Zakat dan Berbuka Puasa Tahun 2025 Bersama Sultan Kedah di Dewan Utama Kompleks Pembangunan Asnaf LZNK, Mergong di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman.
Dalam perkembangan sama, Norizan berkata LZNK telah pun membangunkan satu sistem yang membolehkan orang ramai untuk bersedekah atau berinfak hanya serendah RM1 sehari secara auto debit setiap bulan kepada LZNK yang akan dilancarkan oleh Tuanku Sultan Kedah.
“Melalui sistem ini, LZNK menyasarkan menjelang tahun 2027, seramai sekurang-kurangnya 1 juta rakyat Malaysia yang telah mendaftar bagi menyumbang sekurang-kurangnya RM1 sehari secara auto debit setiap bulan, yang membolehkan LZNK memperoleh dana tambahan tetap di antara RM400 hingga RM500 juta setahun.
“Saya yakin sekiranya sasaran ini menjadi kenyataan dengan strategi dan perancangan yang betul, maka kita doakan LZNK akan dapat mencipta sejarah baharu dengan mencapai kutipan sebanyak RM1 bilion merangkumi zakat dan sedekah sekaligus boleh menyelesaikan isu-isu berkaitan keperluan ekonomi dan sosial rakyat yang memerlukan di seluruh negeri Kedah.
“Dengan dana sebanyak itu, sudah pasti kita akan dapat santuni semua pihak yang selayaknya dengan lebih meluas dan menyeluruh, sekolah-sekolah agama rakyat akan dapat dibangunkan dengan lebih moden dan kondusif, perumahan rakyat dapat dilaksanakan dengan rancak dan tiada lagi rakyat Kedah yang merempat di jalanan, serta semua anak-anak kita akan mendapat keperluan pendidikan yang sempurna,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed