
PKNK DAN SRM UTAMA SELAMBAU METERAI PERJANJIAN PEMBANGUNAN LOJI TENAGA SOLAR BERSKALA BESAR
ALOR SETAR (20 Mac 2025) – Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) hari ini menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah dengan SRM Utama Selambau Sdn Bhd untuk membangunkan sebuah Loji Tenaga Solar Berskala Besar di Bandar Amanjaya, Kuala Muda.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata bahawa projek ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam melaksanakan peralihan tenaga secara berkesan serta menyokong pembangunan tenaga lestari. Usaha ini adalah selari dengan sasaran negara untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar menjelang tahun 2050.
Menurutnya, loji tenaga solar ini akan melibatkan pelaburan sebanyak RM135 juta dan mampu menjana sehingga 30 MW tenaga elektrik yang akan dibekalkan terus kepada pembeli tenaga tempatan. Beliau percaya bahawa kejayaan projek ini akan menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga hijau di negeri Kedah.
“Kerjasama antara PKNK dan SRM Utama Selambau turut menandakan kesungguhan Negeri Kedah dalam meneroka sumber tenaga boleh baharu (TBB). Saya yakin bahawa dengan penglibatan lebih banyak syarikat korporat dalam sektor ini, peluang ekonomi dan perniagaan baharu dapat diwujudkan, seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sehingga suku pertama tahun 2025, PKNK telah bekerjasama dengan tiga syarikat bagi pembangunan Loji Tenaga Solar Berskala Besar dengan kapasiti keseluruhan mencecah 100 MW. Ini menunjukkan peranan signifikan PKNK dalam industri tenaga boleh baharu, sekali gus menjadikan Kedah sebagai peneraju utama dalam pembangunan tenaga hijau.
“Loji ini akan dibangunkan melalui kerjasama strategik antara PKNK dan SRM Utama Selambau, sebuah konsortium yang dianggotai oleh Sumitomo Corporation, MAQO Engineering Sdn Bhd dan Reservoir Link Energy Berhad. Saya amat yakin terhadap pengalaman dan kepakaran syarikat-syarikat ini dalam merealisasikan projek berimpak tinggi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Syarikat SRM Utama Selambau Sdn. Bhd. di Dewan Seminar, Wisma PKNK di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Pengarah SRM Utama Selambau Sdn. Bhd., Kenzo Ikeda; Pengurus Besar Reservoir Link Energy Berhad, Ea Hood Liang; Pengarah Sumitomo Corporation, Takehiro Ando dan Pengarah MAQO Engineering Sdn Bhd, Kook Kok King.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata selain manfaat tenaga bersih, projek ini juga dijangka memberi kesan positif kepada komuniti setempat dari segi pembangunan sosioekonomi. Dengan peningkatan permintaan terhadap tenaga hijau, ia bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dalam sektor berkaitan.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong sebarang bentuk kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam membangunkan projek tenaga boleh baharu. Ini selari dengan Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 yang menekankan kemampanan alam sekitar dan dasar hijau dalam pembangunan negeri.
“Dengan termeterainya perjanjian ini, Kedah kini semakin hampir merealisasikan aspirasi sebagai negeri yang bukan sahaja kaya dengan sumber tenaga boleh baharu, tetapi juga mampu menjadi pemacu utama dalam agenda tenaga lestari negara,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed