
LEBIH 2,000 PENGUNJUNG SERTAI “IFTAR RAMADHAN EXPERIENCE KEDAH”
ALOR SETAR (07 Mac 2025) – Kerajaan Negeri Kedah di bawah portfolio Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Murtadha Dakwah Centre (MADAD) Pertubuhan Kebajikan Nurul Iman dan Yayasan Islam Negeri Kedah menganjurkan satu program Majlis Berbuka Puasa “Iftar Ramadan Experience Kedah” di Dataran Medan Bandar sempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025).
Program yang diadakan setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan 1446H/2025M bermula pada hari ini dimulai seawal jam 6.00 petang dengan Program Sembang Santai yang diterajui oleh Imam Masjid Al Busyra Merbok, Mohd Firdaus Firabib dan Pegawai Eksekutif Yayasan Murtadha Berhad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof.
Lebih 2,000 pengunjung hadir bersama keluarga masing-masing menyertai program ini yang datang seawal jam 5.00 petang bagi sama-sama menghayati bicara ilmu oleh pendakwah jemputan dan menikmati juadah berbuka puasa secara santai.
Program diteruskan dengan kehadiran Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang turut bertemu dan meramah mesra bersama orang ramai yang berbuka puasa secara ‘potluck’ dan kenduri yang disediakan oleh MADAD dan beliau turut berbuka puasa bersama para pengunjung dan diakhiri dengan menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Zahir, Alor Setar.
Hadir sama Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya.
Majlis Berbuka Puasa “Iftar Ramadan Experience Kedah” akan diteruskan pada hari Jumaat yang akan datang dengan pengisian bicara santai oleh pendakwah-pendakwah terkemuka tanahair.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed