
KEDAH TETAP KADAR ZAKAT FITRAH RM7 DAN RM14
ALOR SETAR (04 Mac 2025) – Pada tahun 2024, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah meletakkan satu sasaran iaitu sebanyak RM283,054,239.00 bagi keseluruhan kutipan zakat dan hasil-hasil lain.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata segala strategi dan kaedah kempen yang tepat sepanjang tahun 2024, maka LZNK menerima kutipan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM303,313,254.78. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM25.5 juta iaitu 9.19% melebihi jumlah kutipan zakat pada tahun 2023 iaitu RM273,006,751.00.
“Pada dua tahun terakhir ini, LZNK berjaya mencapai peningkatan sasaran melebihi RM50 juta. Berdasarkan analisis semasa, kenaikan RM25.5 juta pada tahun 2024 telah disumbang melalui peningkatan tiga jenis zakat utama iaitu Zakat Pendapatan dengan peningkatan sebanyak RM18.8 juta, Zakat Perniagaan dengan peningkatan sebanyak RM2.7 juta dan Zakat Fitrah dengan peningkatan sebanyak RM1.2 juta.
“Selain itu, pada tahun 2024 juga telah direkodkan seramai 269,787 orang yang telah menunaikan kewajipan berzakat kepada LZNK dengan jumlah pembayar zakat baharu sahaja yang dapat dikenal pasti sebanyak 103,389 orang dimana 85.7% daripada keseluruhan kutipan tahun lepas iaitu sebanyak RM259.9 juta adalah secara cashless dan hanya RM43.4 juta sahaja yang diterima secara tunai.
“Pihak LZNK telah berjaya mengagihkan keseluruhan dana zakat yang telah dikutip bagi tahun 2024 iaitu sebanyak RM348,375,779.50. Jumlah agihan RM348 juta ini telah menunjukkan bahawa LZNK telah mengagihkan melebihi jumlah zakat yang telah dikutip pada tahun 2024 di mana dana lebihan sebanyak RM45 juta ini adalah menggunakan baki wang zakat yang belum diagihkan pada tahun 2023.
“Semua dana zakat ini telah diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang berhak melalui pelbagai skim dan sektor seperti kebajikan bulanan, pendidikan, keterjaminan makanan, perumahan, kesihatan, pakaian dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sempena Sidang Media Prestasi Kutipan dan Agihan LZNK Tahun 2024 serta Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Kedah Tahun 2025 di Dewan Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Menara Zakat di sini, hari ini.
Hadir sama Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman.
Dalam perkembangan sama, Norizan turut mengumumkan penetapan harga zakat fitrah di negeri Kedah setelah diperkenankan oleh Tuanku Sultan Kedah dengan hanya dua kadar sahaja iaitu RM7.00 dan RM14.00 berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Kedah.
“Bagi kutipan Zakat Fitrah untuk tahun 2025, LZNK telah meletakkan sasaran kutipan sebanyak RM14.50 juta berbanding kutipan tahun 2024 sebanyak RM13.31 juta. Agihan Zakat Fitrah 2025, LZNK telah membuat ketetapan untuk mengagihkannya sebelum menjelang hari raya Aidilfitri berasaskan unjuran jumlah pembayaran zakat fitrah yang ditunaikan oleh umat Islam di negeri Kedah melalui LZNK. Bagi tahun 2025, LZNK akan mengagihkan zakat fitrah berjumlah RM14.50 juta kepada 28,106 orang asnaf di kalangan fakir, miskin, muallaf dan fisabilillah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata sebangak 22 saluran pembayaran Zakat Fitrah telah diperkenalkan bagi tujuan memudahkan orang ramai membuat pembayaran secara atas talian untuk menunaikan zakat fitrah pada tahun ini iaitu 3 portal dan aplikasi rasmi LZNK, 13 platform perbankan internet, 3 aplikasi perkhidmatan E-wallet dan 3 Portal Pembayaran.
“Pendigitalan pembayaran Zakat Fitrah pada tahun ini juga, seramai 2,753 orang amil dan 172 buah agensi yang dilantik LZNK di seluruh negeri Kedah akan menggunakan kaedah digital bagi menerima pembayaran zakat fitrah mengikut kaedah seperti, pembayaran secara bersemuka menggunakan Sistem MyAmil, memaparkan QR Code untuk diimbas oleh pembayar atau; dan Berkongsi Link Pembayaran melalui whatsapp atau medium perhubungan yang lain kepada pembayar untuk diakses bagi membuat pembayaran zakat fitrah.
“Melalui kaedah digital di atas, para pembayar tidak lagi akan menerima kupon atau resit secara manual seperti sebelum ini, akan tetapi resit pembayaran zakat fitrah akan diberikan melalui pautan yang akan dihantar ke email atau aplikasi mesej masing-masing.
“Berkenaan semakan Tauliah Amil, LZNK ingin mengingatkan kepada semua rakyat Negeri Kedah untuk membuat pembayaran zakat fitrah melalui platform digital yang telah disenaraikan atau melalui amil yang bertauliah sahaja. Setiap amil akan dibekalkan dengan kad kuasa masing-masing dan orang ramai adalah digalakkan untuk membuat semakan kad kuasa tersebut bagi tujuan pengesahan sebelum membuat pembayaran,” tambahnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed