
RAKYAT NEGERI KEDAH DIBERI HAK KESAKSAMAAN TIDAK MENGIRA KAUM DAN AGAMA – SANUSI
ALOR SETAR (16 Februari 2025) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 yang berlangsung di Jambatan Muhibah, Pekan Cina, Alor Setar.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” membawa maksud halatuju serta komitmen Kerajaan Negeri yang diamanahkan mandat dalam membawa kesejahteraan kepada seluruh lapisan masyarakat secara adil dan saksama.
“Kerajaan Negeri tidak sesekali meminggirkan mana-mana kelompok minoriti sama ada dari segi kaum, agama, taraf hidup, pendidikan, ideologi politik mahupun apa-apa perbezaan yang lain dalam menentukan sebarang dasar atau keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri.
“Kerajaan sentiasa berpegang pada prinsip dimana semua rakyat jelata di Negeri Kedah ini mempunyai hak yang sama sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan, justeru hak-hak ini akan sentiasa dihormati dan diraikan.
“Seramai 276 ribu rakyat daripada keturunan Tionghua merupakan jumlah yang minoriti di negeri ini membuatkan Kerajaan Negeri akan sentiasa bekerja keras untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran serta mempermudahkan setiap urusan kehidupan mereka sebagaimana warga negeri Kedah yang lain.
“Ajaran Islam menegah kita daripada mendiskriminasi warna kulit dan Islam juga tidak memaksa dalam beragama. Keharmonian yang rakyat sedang nikmati kini adalah barokah keadilan dan kesaksamaan dalam pemerintahan Tuanku Sultan Kedah, juga kepatuhan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi rakyat kepada Baginda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 di Pekan Cina, Alor Setar di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Che Puan Nur Julie Ariff.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zuber Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, Wong Chia Zhen; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), Dato’ Dr Nadzman Mustaffa; Consul General Republic of The People’s Republic of China in Penang, His Excellency Mr. Zhou You Pin dan Presiden, Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Dato’ Cheng Lai Hock.
Majlis turut diserikan dengan tarian singa, persembahan kebudayaan cina dan upacara menggaul ‘lao sheng’ dan seterusnya upacara kemuncak dimana upacara membuang limau ke dalam sungai sempena perayaan Chap Goh Mei dan turut disertai dengan beberapa das tembakan bunga api.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed