
PEMBANGUNAN KAMPUNG PERLU SELARI DALAM MERAPATKAN JURANG BANDAR DAN LUAR BANDAR
KUALA MUDA (16 Februari 2025) – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menyerahkan secara rasmi infrastruktur awam yang telah siap dibina di bawah Program Kampung Angkat Madani kepada penduduk Kampung Jilid 8 dan Rangkaian, Mukim Bujang, Kuala Muda.
Peguam Negara, Dato’ Mohd Dusuki Mokhtar berkata program ini menekankan kepentingan pembangunan kampung bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Ianya bertujuan meningkatkan taraf hidup penduduk dengan penyediaan kemudahan asas serta memperkasakan ekonomi tempatan.
“Setiap kampung yang terpilih menerima peruntukan maksimum RM2.5 juta dan keseluruhannya program ini melibatkan dana mencecah RM100 juta. Antara projek utama yang telah berjaya disiapkan termasuk pembinaan Jeti Nelayan AGC, pemasangan lampu jalan, menaik taraf padang bola sepak, penurapan jalan sepanjang lima kilometer, penyediaan pusat pengumpulan sampah dan pembaikan sistem pembentungan.
“Selain itu, beberapa projek tambahan turut dilaksanakan di Kampung Sungai Gelam, antaranya pemasangan mesin ATM BSN di Masjid At-Tahir yang merupakan satu-satunya masjid di Kedah yang dilengkapi kemudahan ini serta penggantian perabot sekolah KAFA dan penambahbaikan bilik mengaji Muslimat.
“Usaha ini membuktikan bahawa dengan kebersamaan dan komitmen, kita mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat luar bandar. Saya berharap agar kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Kampung Angkat Madani di Masjid At-Tahir, Kampung Sungai Gelam, Kuala Muda di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa; Peguam Cara Negara, Dato’ Suzana Atan; Peguam Cara Negara II, Dato’ Umar Saifuddin Jaafar; Pegawai Daerah Kuala Muda, Azmin Zainol Abidin dan Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK), Abu Mukhtar Mustafa.
Dalam pada itu, Dr Nadzman dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada AGC atas usaha mereka turun padang dari Putrajaya demi bersama-sama penduduk Kampung Sungai Gelam. Beliau menegaskan bahawa keprihatinan AGC ini bukan sahaja membawa pembangunan fizikal tetapi juga mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
“Kerajaan Negeri menghargai program seumpama ini daripada Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan kawasan luar bandar dengan menyediakan prasarana moden selain memperkasakan komuniti setempat untuk menjana ekonomi sendiri,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed