
HARGAI KEPELBAGAIAN BUDAYA DALAM MELAHIRKAN KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK
LANGKAWI (14 Februari 2025) – Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal akan kemajmukan bangsa dan kaya dengan kepelbagaian budaya serta adat resam dimana ia memberi peluang kepada masyarakat untuk saling mengenali, mempelajari dan memahami.
Pengerusi Jawatankuasa Perlancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Salleh Saidin berkata inilah mesej yang dibawa sempena program Sambutan Chap Goh Mei 2025 pada malam ini.
“Ia bukan sekadar memberi peluang kepada masyarakat Cina untuk meraikan warisan mereka, malah turut membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelancong dari dalam dan luar negara untuk turut merasai pengalaman budaya yang sangat berharga ini, bertepatan dengan tema Tahun Melawat Kedah 2025 yang sedang berlangsung kini iaitu ‘Experience Kedah’.
“Selain itu, program ini juga mampu mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan generasi muda mengenai pentingnya mengekalkan nilai-nilai budaya warisan ini dimana ia perlu dipelihara agar generasi akan datang dapat terus mengenali dan menikmati keunikannya.
“Kerajaan Negeri Kedah juga turut menegaskan bahawa program-program yang berpaksikan seni budaya seperti ini amat dialu-alukan dan akan terus diberi sokongan kerana ia adalah sebahagian daripada resepi kemakmuran dan keharmonian. Ini adalah bukti bahawa perpaduan dan kerjasama erat mampu menjayakan sebarang inisiatif yang membawa manfaat kepada kita semua.
“Saya berharap Sambutan Chap Goh Mei 2025 pada malam ini akan terus menjadi platform dalam memperkukuhkan hubungan antara kaum serta meningkatkan daya tarikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan pilihan, melimpahkan rancaknya ke Tanah Besar Kedah dan seterusnya memeriahkan industri pelancongan negara yang sedang bersiap siaga untuk melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Program Pelancongan dan Kebudayaan Sempena Tahun Baharu Cina (Tahun Ular) Chap Goh Mei 2025 di Dataran Lang, Langkawi di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud; ADUN Ayer Hangat, Shamsilah Siru; Ahli Parlimen Langkawi, Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah; Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah; Wakil Yang DiPertua Majlis Perbandaran Langkawi, Siti Aisyah Mohd Taib; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Ahmad Fuad Che Ani dan Pengerusi Jawatankuasa Chap Goh Meh 2025 dan Persatuan Chung Hwa Langkawi, Ooi Yen Keng.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed