ALOR SETAR (26 November 2024) – Kerajaan Negeri Kedah telah melaksanakan beberapa langkah khusus untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan memberi peluang pekerjaan yang lebih kepada penduduk tempatan dengan melaksanakan beberapa siri Program Karnival Kerjaya, Program Daya Kerja 2.0, Penggalakan Program Latihan dan Pendidikan Teknikal, Peningkatan Automasi dalam Sektor Pertanian dan mengadakan Penguatkuasaan Terhadap Pekerja Asing Tanpa Izin.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen berkata Kerajaan Negeri bersama PERKESO Kedah telah mempergiatkan Program Karnival Kerjaya khusus bagi penawaran peluang pekerjaan kepada pencari kerja tempatan di seluruh negeri Kedah. Tujuan pelaksanaan program karnival kerjaya ini adalah untuk mengadakan program padanan kerja ‘job matching’ bagi membantu penduduk tempatan mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.
“Program ini termasuk sesi kaunseling kerjaya, klinik penyediaan resume serta pemadanan dengan syarikat-syarikat yang mencari pekerja baru. Berdasarkan statistik PERKESO, dari tempoh Januari sehingga 31 Oktober 2024, PERKESO Kedah telah melaksanakan sebanyak 275 Program Karnival Kerjaya termasuk sesi temuduga harian dan mingguan di seluruh negeri Kedah yang mana telah berjaya menarik seramai 13,809 pencari kerja tempatan. Daripada jumlah tersebut, seramai 4,627 orang pencari kerja telah berjaya mendapatkan pekerjaan manakala 2,225 orang pencari kerja telah berjaya melangkah ke temuduga peringkat seterusnya.
“Selain itu, Program Daya Kerjaya 2.0 adalah satu insentif di bawah PERKESO Kedah yang diberikan kepada majikan. Program ini membabitkan penempatan pekerjaan bagi kumpulan sasar dalam kalangan golongan mudah terjejas seperti bekas banduan, Orang Kurang Upaya (OKU), pesara dan warga emas mendapatkan pekerjaan dan gaji dengan nilai yang lebih tinggi.
“Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti UniSHAMS, Universiti Utara Malaysia (UUM), Politeknik, KISMEC dan pelbagai institusi-institusi TVET untuk menyediakan latihan teknikal dan vokasional bagi rakyat tempatan. Program seperti ini membolehkan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan semasa sektor industri seperti perkilangan, teknologi, pembuatan, pembinaan, pertanian, perkhidmatan dan lain-lain lagi.
“Kedah sebagai negeri yang terkenal dengan sektor pertanian khususnya padi, sedang beralih kepada automasi dan teknologi moden dalam pertanian. Melalui penggunaan mesin padi yang lebih canggih dan automasi lain, ianya dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja manual yang selama ini bergantung kepada pekerja asing.
“Kerjasama dengan Jabatan Imigresen Negeri Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain agensi penguatkuasaan dipergiatkan dengan pelbagai operasi dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing tanpa izin. Oleh demikian, usaha penguatkuasaan ini dapat mengurangkan pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu dan seterusnya menggalakkan majikan untuk menggaji pekerja tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan oleh ADUN Belantek, Ahmad Sulaiman berkenaan langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan memberi peluang yang lebih kepada penduduk tempatan untuk bekerja di negeri ini sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15 (Mesyuarat Bajet) di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam pada itu, bagi menjawab soalan tambahan ADUN Belantek berkenaan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber manusia dalam sektor awam, Wong berkata Kerajaan Negeri Kedah telah mengambil pendekatan perancangan latihan yang komprehensif, holistik, strategik dan relevan iaitu penyediaan Pelan Operasi Latihan “Training Road Map” (TRM), Perkhidmatan Awam Negeri yang memfokuskan kepada dua program utama iaitu Program Pembangunan Kompetensi (CDP) dan Program Pembangunan Diri dan Kerjaya (SCDP) melibatkan semua skim perkhidmatan awam di Jabatan/Agensi Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri (PBT) dan Badan Berkanun Negeri (BBN).
“Pelan Operasi Latihan (POL) ini disediakan selaras dengan objektif teras Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu membentuk budaya kerja kelas pertama di kalangan penjawat awam. Langkah-langkah ini bertujuan bagi memastikan sumber manusia dalam sektor awam di Kedah mampu memenuhi keperluan rakyat dengan lebih cekap, pantas, dan berkesan,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah