ALOR SETAR (25 November 2024) – Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 bilion dalam Bajet Kedah 2025 yang diumumkan kelmarin merangkumi dua komponen iaitu Projek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier ke atas 15 blok pengairan (Fasa l) dan Projek Pemulihan Empangan Pedu dimana pelaksanaan projek ini dapat meningkatkan kecekapan pengurusan air pertanian di peringkat sawah dan bekalan air domestik serta industri bagi wilayah Kedah Utara, Perlis serta sebahagian Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Abd Ghani berkata melalui pelaksanaan inisiatif ini, kecekapan pengurusan air untuk pertanian dapat dioptimumkan melalui peningkatan kepadatan infrastruktur di kawasan sawah padi. Pembangunan Sistem Pengairan Tersier akan meningkatkan kepadatan infrastruktur daripada 18 meter sehektar kepada 30 meter sehektar yang seterusnya dapat menyokong penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Kawasan Muda.
“Kerajaan Negeri Kedah melalui Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian telah memulakan projek rintis Penanaman Padi Lima Kali Dua Tahun di Daerah Kuala Muda bermula tahun 2023 dimana JPS Negeri Kedah bertanggungjawab memastikan infrastruktur pengairan sedia ada berfungsi dengan efisien dan sewajarnya sepanjang pelaksanaan projek.
“Pada musim penanaman termasuk musim kemarau, pam akan beroperasi selama 24 jam bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi disamping kerja-kerja penyelenggaraan berkala turut dilaksanakan.
“Perancangan penubuhan MADAPlus dimana skim-skim di luar jelapang akan diwartakan sebagai sebahagian daripada Kawasan Muda. Sejumlah 10,038.4 hektar di bawah 11 skim pengairan JPS dicadangkan melibatkan perluasan kawasan jelapang dimana proses mendapatkan maklum balas daripada agensi- agensi berkaitan termasuk JPS sedang dilaksanakan oleh pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan pelaksanaan program ini adalah tertakluk kepada kelulusan di peringkat Kerajaan Negeri.
“Pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dilaksanakan oleh JPS adalah meliputi RTB Sungai Anak Bukit dan RTB Sungai Pendang Fasa Satu dan Dua dimana pelaksanaan projek ini akan memberi faedah kepada MADA dari segi pengurangan risiko banjir yang boleh menjejaskan kawasan tanaman padi sekitar.
“Pengumuman peruntukan hampir RM1 bilion yang diumumkan semasa pembentangan Bajet Kedah 2025 menunjukkan kesungguhan dan iltizam kerajaan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di Kawasan Muda,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawap pertanyaan lisan oleh ADUN Sidam, Bau Wong A/L Bau Ek berkenaan perancangan dalam memastikan projek ini berjaya mendapatkan bekalan air yang mencukupi terutama pada musim kemarau sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15 (Mesyuarat Bajet) di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Sumber Berita : Warta Kedah