PADANG SERAI (09 November 2024) – Semua peringkat dalam Kerajaan Negeri diharap sentiasa bersikap adil dan prihatin kepada semua warga Kedah tanpa membezakan latar belakang kaum, agama, ideologi politik mahupun status ekonomi apatah lagi dalam menjaga dan membela nasib anak-anak yatim.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata ada banyak ayat-ayat Al-Quran dan pesan Nabi Muhammad mengenai anak yatim. Anak yatim termasuk salah satu daripada lapan kumpulan orang yang berhak terima zakat, sumbangan yang diwajibkan ke atas orang Islam yang layak.
“Nabi Muhammad sendiri adalah anak yatim dan Baginda ada berkata “orang yang menanggung (menjaga) anak yatim, aku dan dia seperti ini (sambil tunjuk isyarat dua jari)” yang bermaksud sangat rapat. Saya diberitahu bahawa dalam kepercayaan Hindu, ada juga hero anak yatim seperti Karna pahlawan dalam Mahabaratha.
“Ini membuktikan bahawa status sebagai anak yatim bukan halangan untuk kita jadi orang yang hebat, dalam masyarakat apabila Tuhan telah mentakdirkan kita untuk kehilangan ibu bapa semasa masih kecil. Walaupun hidup dalam kesedihan, selagi ada orang baik serta penjaga rumah-rumah kebajikan yang lain, mudah-mudahan anak-anak yatim akan membesar dengan baik.
“Kita dipihak Kerajaan Negeri, kita akan bantu apa yang termampu. Hari ini kita ada lima rumah kebajikan orang tua dan anak yatim kaum India di Kedah. Saya sesungguhnya cukup kagum dengan semua pihak yang secara sukarela menjaga dan menguruskan rumah anak-anak yatim dan orang tua seperti ini. Anda memang hero masyarakat dan amat membantu kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2024 di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Batu Grace,Taman Desa Aman, Padang Meha di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Langkawi, Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam Dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Ashah Ghazali; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Dato’ Elmi Yusuff; Pegawai Daerah Kulim, Mohd Zaini Ramli dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Batu Grace, Ramesh Bathumalai.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berharap kepada persatuan-persatuan dan rumah-rumah kebajikan hendaklah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sentiasa mematuhi undang-undang bagi mendapatkan nasihat dan bantuan selain memudahkan pihak berwajib menjaga kebajikan dan memantau aktiviti yang dijalankan.
“Apa yang penting, uruskanlah tanggungjawab ini dengan baik. Patuhilah undang undang dan selalulah berhubung dengan pihak JKM untuk mendapatkan nasihat dan bantuan. Selain itu, pastikan tidak berlaku kes jenayah seperti buli dan penderaan sama ada melibatkan sesama penghuni ataupun petugas.
“Apabila saya diberikan tanggungjawab memimpin Kerajaan Negeri Kedah, saya pesan kepada diri saya bahawa saya perlu adil dan bertanggungjawab kepada semua orang, tidak kira kaum atau agama. Saya adalah Menteri Besar kepada semua 2.2 juta rakyat Kedah, bukan orang Melayu sahaja, bukan orang Islam sahaja, dan bukan orang PAS sahaja.
“Saya juga adalah pemimpin kepada 129,055 orang penduduk kaum India di Negeri Kedah. Untuk memastikan diri saya sentiasa bersungguh-sungguh dengan tanggungjawab ini, saya jadikan slogan “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” sebagai dasar Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah