TOK 2024 SASAR 100,000 PENGUNJUNG HADIR SELAMA EMPAT HARI

ALOR SETAR (08 November 2024) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kumpulan Bangsawan Sri Kedah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kedah, Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Negeri Kedah dan Nabilah Bahrin Group Sdn. Bhd. menganjurkan Program Temasya Oghang Kedah (TOK) 2024 bermula 7 hingga 10 November 2024 di Perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata seperti yang kita sama-sama ketahui, TOK 2024 ini asalnya dijadualkan pada 26 hingga 29 September yang lalu. Menjelang tarikh itu segala persiapan telah dibuat bagi memastikan kelancarannya tetapi takdir menentukan pada waktu itu kita diuji dengan banjir yang melibatkan puluhan ribu penduduk di beberapa daerah di negeri ini dan kita memberi fokus dan tumpuan untuk membantu mangsa dan Alhamdulillah selepas melalui tempoh tersebut, kini TOK 2024 akhirnya dapat juga diadakan.

“Temasya Oghang Kedah (TOK) 2024 ini adalah manifestasi daripada rasa cinta, penghargaan dan kebertanggungjawaban kita terhadap segala warisan seni budaya yang telah diturunkan oleh generasi terdahulu. Warisan yang perlu kita jaga dan kita martabatkan.

“Selain itu, penganjuran TOK 2024 juga bertepatan dengan usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk merancakkan sektor pelancongan dimana Alor Setar kini masih berlangsung program ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ dan TOK 2024 sudah tentu memberi suntikan tambahan ke arah memeriahkan lagi program tersebut secara tidak langsung menambahkan kerancakan kepada usaha-usaha mempromosi Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) seterusnya Tahun Melawat Malaysia 2026.

“TMK 2025 harus menjadi misi yang bukan calang-calang kerana ia adalah salah satu daripada teras yang mendukung agenda yang lebih besar iaitu pembinaan ‘The Greater Kedah’ yang menjadi agenda utama kerajaan pimpinan YAB Dato’ Seri Menteri Besar.

“Demi menjayakan misi itu, usaha memperkasakan sektor pelancongan Kedah perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan disebabkan itulah TMK 2025 memberikan fokus khusus kepada usaha merancakkan pelancongan di Tanah Besar Kedah di samping meneruskan usaha mengangkat Pulau Langkawi yang sedia tersohor itu ke mercu yang lebih gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Program Pelancongan Budaya: Temasya Oghang Kedah 2024 di Perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff; Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris; Yang DiPertua Kumpulan Bangsawan Sri Kedah, Zainol Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Nabilah Bahrin Group Sdn. Bhd., Siti Nabilah Dol Bahrin; Pengerusi Majlis Persilatan Negeri Kedah, Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Negeri Kedah, Zakaria Mat dan Pegawai Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd Noh.

Dalam perkembangan sama, Mohd Salleh berkata melalui penganjuran TOK 2024 diharapkan jumlah pengunjung yang hadir dalam tempoh empat hari ini mencapai sasaran iaitu seramai 100,000 orang dan Return of Investment (ROI) berjumlah RM250,000 supaya penganjuran program sebegini boleh diklasifikasikan sebagai satu acara yang kekal relevan pada masyarakat dan perlu dilaksanakan secara berterusan pada tahun-tahun yang akan datang.

“Dalam pada itu, saya juga berharap peganjuran program-program yang berpaksikan seni budaya seperti ini terus diperbanyakkan, lebih-lebih lagi bersempena TMK2025 nanti. Saya percaya masih banyak warisan seni budaya yang boleh diketengahkan dan saya juga yakin di luar sana ramai anak-anak Kedah yang bersedia untuk tampil bagi berkongsi bakat dan kebolehan mereka demi kecintaan kepada warisan budaya bangsa,” ujarnya.

Temasya Oghang Kedah (TOK) turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) kerana berjaya menghimpunkan seramai 1,931 orang pesilat seluruh negeri Kedah mengiringi tetamu kehormat dan melakukan persembahan sempena pelancaran TOK 2024.

Sumber Berita : Warta Kedah