ALOR SETAR (02 November 2024) – Kerajaan Negeri Kedah di bawah Jawatankuasa Kepunggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri Kedah menganjurkan Kejohanan Badminton bagi merebut Piala Menteri Besar Kedah Edisi 2024 yang berlangung di Gelanggang Badminton Dewan Dato’ Syed Omar di sini, hari ini.
Kejohanan yang berlangsung sejak dari pagi itu telah mempertandingkan empat kategori termasuk Beregu Lelaki Terbuka Amatur sebanyak 64 penyertaan, Beregu Lelaki Veteran sebanyak 32 penyertaan dan Beregu Remaja Lelaki 15 hingga 19 tahun sebanyak 32 penyertaan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hadir dan turut beraksi menyertai perlawanan badminton persahabatan beregu di mana beliau berpasangan dengan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari dari Perak menentang pasangan pilihan Exco Sukan, Mohd Radhi Md Din dan Zakri Latif.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Ahli Dewan Undangan Neger (ADUN) Derga, Muhamad Amri Wahab dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Zulzuraidy Othman.
Dalam perkembangan sama, Sanusi turut menyaksikan perlawanan-perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang kejohanan yang telah dipertandingkan iaitu Johan kategori Beregu Lelaki Terbuka Amatur jatuh kepada pasangan Mohammad Zaam dan Mohd. Zulhafiz dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 bersama piala dan medal.
Manakala bagi kategori Beregu Lelaki Veteran dimenangi oleh Ivan Heng Lai Hock dan Mohd Nurfaridz dari Perlis yang membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 bersama piala dan medal. Bagi kategori Beregu Lelaki Remaja pula telah dimenangi oleh pasangan Hazim Hawari dan Harith Amzar yang memenangi hadiah wang tunai RM300.00 bersama piala dan medal.
Sumber Berita : Warta Kedah