ALOR SETAR (27 Oktober 2024) – Lapisan organisasi masyarakat manusia yang tertinggi ialah kerajaan atau pemerintah. Ini kerana pemerintah mempunyai kuasa politik untuk memastikan semua kegiatan sosio-ekonomi dalam masyarakat dapat dilaksanakan dengan teratur berdasarkan kepada prinsip dan dasar yang telah ditentukan. Apabila anggota masyarakat mematuhi dan melaksanakan segala prinsip dan dasar yang ditetapkan oleh pemerintah, maka akan wujud satu negara yang stabil, maju dan berjaya.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata kemuncak kepada kerajaan Islam ini ialah khalifah, Imam atau ketua negara. Wujudnya konsep khalifah dalam Tamadun Islam sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya aspek kepimpinan dalam tamadun manusia.
“Kepimpinan Islam telah hilang dari masyarakat manusia zaman di era Revolusi Industri 4.0 dan apa yang tinggal hanyalah bahan-bahan cetak atau media-media yang memperkatakan tentang kepimpinan Islam. Ia hanya menjadi bahan senaman minda, tajuk untuk diperbahaskan dalam seminar atau forum. Syariat Allah dipinggirkan, peraturan ciptaan manusia diangkat tinggi.
“Kesengsaraan ketiadaan kepimpinan Islam bukan sahaja dirasai oleh umat Islam tetapi juga umat bukan Islam bahkan oleh seluruh umat di dunia. Kepimpinan yang tidak berlandaskan kepada Syariat Allah SWT membawa kerosakan dan bencana yang besar kepada kehidupan manusia. Lantaran tidak takut kepada kekuasaan pencipta alam ini, orang-orang yang berkuasa membuat apa sahaja yang mereka suka dan lebih berdasarkan hawa nafsu.
“Umat manusia hari ini ternanti-nantikan kepimpinan Islam muncul dalam kehidupan mereka. Hanya kepimpinan Islam yang boleh membawa keadilan dan kesaksamaan kepada mereka. Telah terbukti dalam sejarah bagaimana mereka hidup dengan aman bermula dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah zaman Khalifah Uthmaniah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di majlis Program Bual Bicara Membina Kecemerlangan Kedah Berpaksikan Kepada Kepimpinan Era Kegemilangan Islam di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Abdul Hadi dijemput khas bagi menyampaikan amanat dalam Bual Bicara tersebut di hadapan jemputan terdiri dari Ahli-ahli Parlimen Kedah, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN-ADUN Negeri Kedah, Ketua-ketua Jabatan, MKK dan pemimpin masyarakat.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Panel Penasihat State Government 4(SG4), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zubir Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof Dr. Haim Hilman Abdullah dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata di Malaysia antara cabaran utama dalam pendidikan adalah ledakan ilmu berbentuk global dan juga masalah sosial yang perlu ditangani. Perkembangan teknologi tanpa sempadan menyaksikan maklumat dari seluruh dunia berada di hujung jari sahaja. Sesiapa sahaja boleh terdedah kepada maklumat ini. Suatu yang membahayakan bahawa maklumat tanpa tapisan atau penjelasan yang wajar boleh disalahertikan atau banyak memberikan kesan negatif.
“Secara umumnya kita mendapati baik di luar negara mahupun di dalam negara, banyak perkara yang nampak seperti seragam. Umat Islam kini sepertinya sudah hilang jati diri. Mereka miskin dalam pegangan agama, miskin disudut akhlak dan juga miskin dalam pemilikan kebendaan. Virus cintakan dunia secara berlebihan semakin menguasai masyarakat sekarang.
“Dunia Islam masih bergantung harap kepada kuasa-kuasa besar dalam bidang ekonomi. Walaupun mempunyai hasil bumi yang banyak, kebanyakan negara Islam masih bergantung kepada bantuan berbentuk teknologi, kepakaran dan lain-lain daripada barat. Peringkat global, Islam masih dilihat dengan pandangan negatif dan sering dikaitkan dengan keganasan dan ancaman kepada keselamatan. Orang-orang Islam sudah tidak sebebas dahulu untuk ke sana dan ke mari kerana selalu dilihat sebagai mencurigakan.
“Kejayaan akan diperolehi dengan pembinaan diri dan juga kemajuan masyarakat dan pertolongan Allah SWT. Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini beberapa pendekatan perlulah dilakukan secara bersama. Pendekatan yang dimaksudkan adalah melalui pembangunan iman dan akhlak, pembangunan kompetensi penjawat awam, pembangunan organisasi dan juga pembinaan dan pengukuhan jaringan,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah