1,000 USAHAWAN WANITA TERIMA RM500 TABUNG USAHAWAN WANITA SEJAHTERA

ALOR SETAR (15 Oktober 2024) – Seramai 1,000 orang usahawan wanita yang layak di seluruh Negeri Kedah menerima sumbangan dari Kerajaan Negeri berupa wang tunai sebanyak RM500.00 setiap seorang melalui Tabung Usahawan Wanita Sejahtera sebagai modal bagi memudahkan mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata bantuan kewangan ini juga menandakan keprihatinan dan fokus Kerajaan Negeri dalam membantu golongan wanita yang ingin memajukan perniagaan kecil atau perusahaan di rumah secara kecil-kecilan bagi menambah taraf ekonomi dan pendapatan mereka serta keluarga.

“Bantuan RM500 yang melibatkan 36 DUN di 12 daerah seluruh negeri ini mungkin tidak seberapa bagi sesetengah orang tetapi saya percaya bahawa nilai ini besar ertinya bagi mereka yang betul-betul memerlukan dan tahu memanfaatkannya.

“Tabung Usahawan Wanita Sejahtera ini diwujudkan sebagai platform sokongan bagi membantu para usahawan wanita membuat pusingan modal bagi mengembangkan perniagaan mereka. Kita berharap dengan adanya tabung ini, wanita-wanita usahawan akan lebih berdaya saing, inovatif dan kreatif dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan yang semakin kompetitif.

“Saya juga ingin menekankan pentingnya bimbingan dan latihan yang berterusan bagi memastikan usahawan wanita kita kekal relevan dan cekap. Melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan baik di peringkat persekutuan dan juga negeri, institusi kewangan dan pihak swasta, kita yakin bahawa sokongan yang menyeluruh akan dapat diberikan kepada para usahawan wanita kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Penyerahan Sumbangan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata wanita merupakan tulang belakang kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi. Sejarah telah membuktikan bahawa wanita tidak hanya memainkan peranan penting di rumah tetapi juga sebagai penyumbang utama kepada perkembangan negara dalam pelbagai sektor. Melalui sumbangan ini, kita memberi peluang kepada wanita untuk terus melangkah ke hadapan dan melebarkan sayap mereka dalam bidang keusahawanan.

“Jika dahulu dalam budaya kehidupan tradisional, peranan wanita selain melahirkan dan mendidik anak-anak, lazimnya terhad dalam lingkungan ekonomi rumah tangga iaitu menguruskan perbelanjaan harian untuk makan minum daripada wang yang dinafkahkan oleh suami masing-masing.

“Namun hari ini, perkembangan teknologi telah membawa kepada satu dimensi baharu kehidupan dengan golongan wanita semakin ramai yang melibatkan diri dengan perniagaan atas talian. Mereka mampu berniaga dengan nilai ratusan ribu malah sampai berjuta ringgit hanya dari rumah.

“Dengan bentuk perniagaan yang fleksibel, sumbangan mereka kepada perkembangan ekonomi adalah sangat besar dan mampan. Keusahawanan wanita tidak hanya sekadar mencipta peluang pekerjaan untuk diri mereka sendiri tetapi juga untuk komuniti setempat. Ia memberi impak berganda dimana perniagaan yang dijalankan oleh wanita bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup keluarga mereka, malah juga memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah