SULTAN KEDAH BERANGKAT HADIR KE MAJLIS ISTIADAT KONVOKESYEN UNISHAMS KE-26

KUALA MUDA (13 Oktober 2024) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat hadir ke Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Ke-26 di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, UniSHAMS di sini, hari ini.

Baginda bertitah sangat sukacita kerana UniSHAMS telah berhasil melahirkan graduan yang memiliki kebijaksanaan yang merangkumi kemampuan untuk berfikir berdasarkan pengetahuan dan pengalaman, serta etika prinsip ajaran Islam yang berteraskan ahli Sunah Wal Jamaah.

“Beta yakin UniSHAMS kekal ampuh dengan prinsip ‘Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan’ dan akan terus melahirkan individu yang memberikan impak, serta sumbangan positif kepada masyarakat. Para graduan UniSHAMS telah dibangunkan untuk menjadi seorang penyampai dakwah holistik yang menjadi teladan yang baik dan menjadi sumber inspirasi kepada semua.

“Dalam pada itu, Beta turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi tahniah buat penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang, Mufti Negeri Kedah dan Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah Weststar Aviation Services Sdn Bhd akan kejayaan mereka. Kedua-dua insan ini adalah contoh teladan anak watan negeri Kedah yang telah banyak memberi sumbangan terhadap kemajuan, penyebaran pengetahuan dan jasa cemerlang kepada pembangunan ummah di dalam bidang masing-masing.

“Beta juga dimaklumkan akan cadangan pembangunan Masjid UniSHAMS yang dianggarkan mencecah kos pembinaan berjumlah RM13 juta. Beta berharap akan ada pihak-pihak yang sudi tampil menghulurkan bantuan berbentuk wakaf tunai untuk merealisasikan hasrat murni pembinaan Masjid UniSHAMS demi maslahah pelajar dan masyarakat setempat.

“Beta turut mengambil maklum bahawa akan usaha pihak UniSHAMS dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan pendidikan, keperluan kepada tambahan asrama pelajar baharu yang lebih kondusif serta mampu menempatkan kira-kira 3,000 orang pelajar dan ini bakal memberikan nilai tambah kepada UniSHAMS untuk terus kekal berdaya saing pada masa hadapan,” titahnya.

Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Pro Canselor II UniSHAMS, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi dan Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr Mohd Amy Azhar Dato’ Mohd Harif.

Dalam pada itu, Amy Azhar berkata seramai 1,210 orang graduan bakal menerima sijil akademik masing-masing pada hari ini dimana secara keseluruhannya sehingga Istiadat Konvokesyen kali ini, UniSHAMS telah berjaya melahirkan seramai 20,679 graduan yang datang dari lebih 15 buah negara. Ini membuktikan bahawa UniSHAMS telah berjaya menempa nama sebagai sebuah universiti antarabangsa yang diterima ramai khususnya di rantau Asia Tenggara.

“Tema Konvokesyen kali ini, “Modern, Wisdom, Technology,” mencerminkan komitmen kami dalam memajukan pencarian ilmu dan pembangunan kesarjanaan dan pihak UniSHAMS bertekad menjadi sebuah Universiti Islam global yang unggul selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Dalam majlis sama, Tuanku Sultan Kedah turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Usuluddin kepada Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Sheikh Fadzil Awang dan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan, Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim disamping turut menganugerahkan para penerima sijil yang terpilih pada majlis istiadat pada hari ini.

Sumber Berita : Warta Kedah