JPA TERJEMAHKAN PEKELILING SSPA MELALUI SLU BERSAMA PENJAWAT AWAM NEGERI KEDAH

ALOR SETAR (06 Oktober 2024) – Pada Ogos 2024 lepas, Perdana Menteri telah menyampaikan berita gembira kepada semua penjawat awam di seluruh negara apabila kerajaan telah bersetuju bahawa Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuatkuasa mulai 1 Disember 2024 akan datang.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Sunita Abdul Aziz berkata susulan itu, satu pekeliling perkhidmatan baharu telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menzahirkan serta menterjemahkan apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia.

“Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkenaan dengan pelaksanaan SSPA bagi Pegawai Perkhidmatan Awam mempunyai satu garis panduan serta sumber kepada semua penjawat awam untuk mengetahui apakah penambahbaikan yang bakal diterima setelah SSPA akan berkuatkuasa kelak.

“Sekiranya kita merujuk kepada pekeliling yang telah dikeluarkan, strategi utama mewujudkan SSPA ini adalah nagi meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam di Malaysia dengan memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu meningkatkan pendapatan boleh guna pegawai awam, mengurangkan tanggungan fiskal kerajaan bagi pembayaran faedah persaraan dan meningkatkan produktiviti pegawai awam melalui pembudayaan nilai serta reputasi teknologi.

“Saya pasti terutamanya penjawat awam di negeri Kedah ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi berkenaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 yang berkaitan dengan SSPA ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sesi Libat Urus (SLU) Pekeliling Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Bersama Pengurus Sumber Manusia (PSM) Agensi-agensi di Bawah Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan Perancangan Dasar Cawangan Perancangan Makro Sektor Awam JPA, Dr. Inas Zulkipli; Ketua Penolong Pengarah Sektor Dasar Skim Perkhidmatan, Noradiana Mohd Ismail; Ketua Penolong Pengarah, Md Zusmaidi Abdul Aziz dan Timbalan Pengarah, Hazlan Hashim.

Dalam perkembangan sama, Sunita berkata semua yang berada di dalam dewan ini diharap dapat bersedia dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan jabatan masing-masing dengan kehadiran pihak JPA untuk bertanya kepada panel-panel dan urusetia yang telah hadir pada pagi ini berkenaan isu-isu berkaitan SSPA ini yang akan diterima pakai pada bulan Disember nanti.

“Masih ada lagi yang ketinggalan melalui sistem sebelum ini dan saya harap pada hari ini ambil kesempatan bertanya kepada pihak JPA serta perbetulkan semula dan fahami semula sistem baharu yang bakal kita gunakan berkuatkuasa Disember nanti,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah