PENYEDIAAN RANCANGAN PEMAJUAN PERLU MENGAMBILKIRA PENDEKATAN ‘PEOPLE CENTRIC’ DAN BANDAR PINTAR – SANUSI

ALOR SETAR (01 Oktober 2024) – Dalam usaha untuk menjadikan Negeri Kedah sebuah negeri yang sejahtera dan berdaya huni, transformasi pembangunan spatial yang harmoni dengan penekanan terhadap pembangunan ekonomi berdaya saing dan sosial yang inklusif, serta persekitaran yang mampan dan pintar perlulah diadaptasi secara holistik.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata kerangka Pembangunan Negeri melalui Pelan Pembangunan Kedah 2035 menyasarkan untuk menjadikan Kedah Sebagai Negeri Sejahtera Dan Berdaya Huni. Dalam konteks ini, Negeri Kedah akan dipacu menjadi negeri yang berdaya saing, mampan, pintar dan berdaya tahan (Kedah Competitive, Sustainable, Smart and Resilient) serta pertumbuhan ekonomi Negeri yang berkembang maju (thriving) bagi meningkatkan KDNK negeri, penjanaan peluang pekerjaan dan pendapatan penduduk.

“Pelan Pembangunan Kedah 2035 adalah misi dalam usaha kita untuk mencapai gagasan The Greater Kedah dalam tempoh beberapa dekad akan datang. Pelbagai usaha sedang digerakkan untuk menuju matlamat tersebut di samping kerangka pembangunan spatial, dasar pentadbiran negeri adalah berteraskan matlamat “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” dengan setiap pelan dan pelaksanaan adalah berfokus kepada agenda kesejahteraan rakyat yang boleh dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang sama ada kaum, agama, politik, taraf pendidikan atau apa jua perbezaan.

“Kita juga beriltizam untuk mewujudkan masyarakat yang saling hormat menghormati, berkasih sayang dan bertoleransi antara satu sama lain selain yang kaya bersimpati untuk membantu yang miskin manakala yang miskin pula mengasihi dan menghormati yang kaya. Itulah prinsip kita dalam usaha menjadikan “Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti”.

“Selaras dengan Aspirasi Malaysia Berdaya Huni, penyediaan rancangan pemajuan di peringkat negeri mahupun tempatan perlu mengambilkira pendekatan ‘people centric’ dan Bandar Pintar melalui ekosistem nilai yang dikongsi bersama. Kerajaan Negeri, melalui jabatan-jabatan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa menyokong penglibatan rakyat dalam penyediaan rancangan-rancangan pemajuan.

Ini dapat dilihat melalui program publisiti Rancangan Tempatan (Penggantian) yang telah dilaksanakan.

“Justeru, merancang bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal sahaja, malah ia perlu menerapkan elemen-elemen Bandar Selamat dan Bandar Pintar serta mengangkat citarasa masyarakat agar tahap daya huni dan kesejahteraan penduduk dapat dicapai. Suka saya sarankan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi teknikal agar bersama-sama menerokai projek-projek yang dicadangkan di dalam RT dan RKK untuk dilaksanakan secara showcasing di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti supaya ianya lebih memberi kesan atau touch point kepada penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia, TPr Md Nazri Abdullah; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kedah, Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa dan Pengarah PLANMalaysia Negeri Kedah, Mohd Munizam Abdul Aziz.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia pada tahun ini merupakan sambutan yang ke 36 dan telah menjadi agenda tahunan PLANMalaysia sejak tahun 1988. Pada tahun ini, tema sambutan yang dipilih adalah “Sedaya Upaya Membina Bandar Mampan dan Pintar #DemiPertiwi”.

“Sambutan ini sejajar dan bertepatan dengan wawasan pembangunan negeri yang terkandung di dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH 2035). Melalui KEDAH 2035, sebuah rangka kerja yang didokong oleh enam Teras Strategik, iaitu Kemakmuran Ekonomi, Kecemerlangan Infra dan Utiliti, Keterangkuman Sosial dan Budaya, Keseimbangan Modal Insan dan Bakat, Kompetensi Tadbir Urus dan Kemampanan Alam Sekitar telah dibentuk.

“Sehubungan dengan itu, ke arah merealisasikan visi Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni, pembangunan dan kemajuan yang holistik meliputi pembangunan (ekonomi dan infrastruktur) dan insani (jasmani, rohani, emosi dan intelek) telah mula digerakkan.

“Melihat kepada sumbangan perancang bandar dalam merancang, merangka dasar, menyelaras dan mengawal selia aktiviti pemajuan sememangnya peranan profesion ini amat diperlukan dalam negara dan negeri,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah