KERAJAAN NEGERI BERI JAMINAN TUNAIKAN SUMBANGAN KEPADA MANGSA BANJIR DI KEDAH – SANUSI

ALOR SETAR (25 September 2024) – Kerajaan Negeri Kedah memberi jaminan akan tetap menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000.00 seperti yang dijanjikan kepada Ketua Isi Rumah dengan kadar yang segera.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata kebanyakan mangsa-mangsa banjir tidak mahu pulang ke rumah masing-masing kerana beranggapan sumbangan dari Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000.00 tidak dapat dan ianya akan diberikan kepada mangsa yang masih berada di PPS sahaja.

“Saya beri jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan tetap memberikan sumbangan tersebut kepada tiap-tiap ahli keluarga yang berjumlah 3,517 Ketua Isi Rumah (KIR) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta lebih dan akan disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah masing-masing.

“Setakat petang ini sebanyak 20 PPS masih dibuka dan melibatkan jumlah mangsa sebanyak 2,942 sahaja termasuk 939 keluarga. PPS yang masih dibuka terdapat 10 di Daerah Pendang, Kota Setar dan dua lagi di lain-lain tempat. Memandangkan sekarang paras air semakin menurun, penduduk di PPS boleh balik untuk cuci rumah dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Sebahagian besar telah dibayar oleh Pegawai Daerah dalam majlis penyerahan di PPS. Cuma yang belum mendapat maklumat ialah berkenaan sumbangan Kerajaan Pusat melalui Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) di bawah agensi Persekutuan. Walaupun kebanyakannya telah disampaikan melalui kaedah-kaedah yang diguna pakai oleh ICU dan diharap ianya dapat disampaikan dengan sempurna.

“Bagi isi rumah yang masih belum terima dari Kerajaan Negeri, akan disalurkan kepada Pegawai-pegawai Daerah dan mereka diberi tanggungjawab menjejak KIR yang sudah kembali ke rumah walaupun PPS telah ditutup kerana semua data dan nama serta maklumat mangsa ada di PKOB dan PPS masing-masing.

“Selain itu terdapat juga sumbangan lain melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang telah bersetuju untuk membuat pembaikan rumah-rumah yang menelan belanja di bawah RM15 ribu, akan ditanggung oleh LZNK sepenuhnya manakala pembaikan yang melebihi RM15 ribu, kita akan gunakan dana dari agensi NADMA yang meliputi lebih dari 700 buah rumah yang rosak di seluruh Kedah. Pembaikan rumah ini bukan sahaja kepada rumah yang rosak kerana bencana banjir tetapi juga kepada rumah yang dilanda ribut.

“Oleh yang demikian, jika sekiranya PPS dan PKOB telah ditutup tetapi bayaran belum sampai, diminta kepada Pegawai-Pegawai Daerah turun ke rumah-rumah mangsa untuk menyampaikan sumbangan dari Kerajaan Negeri seperti yang dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Kesihatan Negeri, Mej (B) Mansor Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan Dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Abd Ghani dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam Dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata untuk kawasan pertanian di luar kawasan MADA yang didaftarkan di bawah Kerajaan Negeri pula hasil dari bancian Jabatan Pertanian Negeri, sebanyak 999 orang petani terlibat meliputi kawasan seluas 2,986 hektar tanah pertanian termasuk sawah padi dan tanaman lain yang dianggarkan kerugian sebanyak RM10 juta lebih. Kerosakan kawasan sawah padi sahaja sebanyak RM8.2 juta. Bagi agro makanan lain sebanyak RM60 ribu dan bagi infra, ladang-ladang dan jalan sebanyak RM1.76 juta.

“Saya berpandangan bahawa Kedah sekarang ini berada di fasa akhir bencana banjir dan akan masuk ke fasa pasca banjir di mana akan timbul masalah lain seperti masalah infra dan keselamatan kepada kemudahan awam dan perkara ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

“Pihak JKM, JKR dan agensi-agensi lain akan membuat cadangan untuk membuat projek-projek membaikinya atau pembinaan yang baharu dengan kadar segera,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sanusi juga memaklumkan bahawa Pejabat Menteri Besar akan membuat sumbangan kepada wakil-wakil Rakyat DUN dan Parlimen di kawasan masing-masing untuk membantu mereka ketika turun melawat mangsa-mangsa banjir disamping memberi sumbangan semasa pasca banjir nanti kerana kemungkinan ada mangsa-mangsa yang tercicir atau terlepas pandang dari menerima sumbangan Kerajaan Negeri.

Sumber Berita : Warta Kedah