PERDANA MENTERI UMUM PERUNTUKAN RM13 JUTA BAIK PULIH INFRA DAN BANTUAN MANGSA BANJIR DI KEDAH

ALOR SETAR (21 September 2024) – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM13 juta untuk membaik pulih infrastruktur rosak dan membantu penduduk yang terjejas dalam bencana banjir di negeri Kedah. Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan untuk seluruh negeri Kedah, manakala RM3 juta lagi dikhaskan untuk pembaikan infra pasca banjir di daerah Kota Setar.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan itu hendaklah disalurkan segera untuk memulakan kerja-kerja pelaksanaan selepas mengenalpasti keperluan mendesak.

“Saya telah melakukan tinjauan dan melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Stadium Suka Menanti dan PPS Sekolah Agama ini, bertanyakan khabar dan meminta supaya pihak-pihak kerajaan dan agensi pada masa yang sama mengambil kesempatan membuat pemeriksaan kesihatan kepada mereka, terutama sekali mangsa-mangsa yang mempunyai penyakit kronik dan didoakan supaya mereka sembuh dan keadaan banjir kembali baik serta berharap mereka banyak bersabar atas ujian ini.

“Tujuan saya datang adalah untuk pastikan perjalanan yang baik dan semua bantuan kepada rakyat termasuk sawah padi disegerakan. Peruntukan RM10 juta untuk Kedah bagi tujuan sumbangan dan pembersihan manakala RM3 juta khas pembaikan infra pasca banjir di Kota Setar. Ini untuk pastikan selepas banjir bagi memenuhi apa-apa kerosakan dan ganti rugi yang munasabah.

“Kita minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri selaraskan hal ini supaya disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKAK) di sini, pagi tadi selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa;

Ketua Polis Negeri Kedah, CP Dato’ Fisol Salleh; Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Aminrrahim Mohamad dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengumumkan mangsa banjir yang berdaftar akan akan menerima bantuan kewangan dari Kerajaan Pusat berjumlah RM1,000 yang akan disalurkan segera melaui agensi persekutuan NADMA dan ICU.

“Bantuan wang tunai sudah disampaikan seribu ringgit, Menteri Besar Kedah juga sebut negeri pun akan tambah peruntukkan dan jika ada kerosakan, kerugian binatang ternakan serta hasil tanaman seharusnya kita teliti bagi meringankan beban mangsa banjir,” ujarnya.

Terdahulu, sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas, Perdana Menteri diberi taklimat lawatan dan mangsa banjir di Kedah oleh Pegawai NADMA dan APM seterusnya dibawa melawat PPS Stadium Sultan Abdul Halim, PPS SMKAK dan selepas itu beliau dibawa meninjau PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

Sumber Berita : Warta Kedah