ALOR SETAR (06 JULAI 2024) – Seluruh umat Islam di Negeri Kedah perlu sentiasa memahami dan menghayati konsep hijrah dengan pengertian sebenar, supaya kita mampu merencana sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan kita hari ini seterusnya masa-masa akan datang.
Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah penghijrahan memerlukan strategi dan perancangan yang berkualiti. Ianya perlu dibuat secara berperingkat dengan penglibatan setiap individu dan ahli keluarga dengan matlamat yang jelas demi mencapai negeri yang aman, makmur dan harmoni. Kita tidak menafikan bahawa peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia itu sendiri, termasuklah cara bertindak dan berfikir. Inilah kesan proses hijrah.
“Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan fardhu ‘ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititik-beratkan. Syeikh Dr. Yusof Al-Qadrawi, seorang tokoh ulama semasa ada menyatakan bahawa, “Pendidikan merangkumi keseluruhan kehidupan termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku. Ia bertujuan untuk membentuk manusia, bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikkan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan.”
“Umat Islam pada hari ini, perlu juga dibangunkan dengan asas-asas kerohanian yang kukuh, agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran dan himpitan hawa nafsu. Umat Islam yang lemah dari segi kerohanian akan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam pelbagai perkara seperti krisis moral, akhlak, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.
“Justeru bagi memastikan kedudukan umat Islam terjamin, maka perlu bagi kita mengatur segala urusan kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh syarak, disamping kita perlu memperkasakan institusi Islam seperti masjid, surau dan sebagainya,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 1446H/2024M di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat dan Timbalan Pengarah (Operasi) JHEAIK, Dato’ Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim.
Dalam perkembangan sama, Baginda bertitah bahawa perpaduan adalah asas paling utama bagi memakmurkan diri, masyarakat dan negara. Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa, bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Penghijrahan Rasulullah juga membuahkan hasil apabila berjaya mengubah permusuhan kepada penyatuan, kejahilan kepada ilmu, serta kemunduran kepada pelbagai limpahan kemajuan.
“Beta ingin mengingatkan supaya, umat Islam jangan mengorbankan jati diri sebagai seorang Muslim semata-mata kerana inginkan kuasa, kekayaan harta benda, pangkat dan populariti kerana kesemuanya ini tidak akan kekal lama tetapi hendaklah mengutamakan persaudaraan, integriti, kualiti insan dan keberkatan dalam segala tindak tanduk yang kita laksanakan.
“Janganlah kerana tamakkan pencapaian dan kemajuan duniawi serta mahu melihat kejayaan secara drastik, kita sangup korbankan kehendak agama dan musnahkan nilai kemanusiaan dengan melakukan fasid di atas muka bumi Allah ini. Sejarah telah membuktikan bahawa, kejayaan bukan datang bergolek tanpa ada usaha yang berterusan dan memerlukan pelbagai pengorbanan. Penghijrahan juga perlu berlaku secara beransur-ansur dengan harapan membuahkan hasil pada akhirnya.
“Paling penting, jaga ibadah kita kepada Allah diikuti hubungan sesama manusia. Jauhilah diri dari menimbulkan bibit-bibit perpecahan, yang ternyata amat merugikan sehingga orang bukan Islam terus mentertawakan kita, malah mengambil kesempatan merendahkan martabat Islam atas kelemahan yang kita sendiri ‘cipta’.
“Oleh itu, beta menyeru agar kita semua menghayati iktibar dari kehidupan Baginda Rasulullah dalam peristiwa hijrah serta berusaha sedaya upaya mengikut ajaran, tingkah laku dan akhlak Baginda agar dapat diamalkan dalam hidup kita, uswah dan qudwah Baginda yang sangat mulia itu. Semoga Allah sentiasa memayungi kehidupan kita dengan penuh keberkatan dan mendapat inayah dariNya jua,” ujar Baginda.
Dalam pada itu, Baginda turut mencemar duli menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446H Negeri Kedah yang dianugerahkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Tarbiah Haraki An-Nur, Dato’ Taib Azamudden Md Taib yang membawa pulang RM15,000.00, Sijil Penghargaan dan hadiah iringan.
Baginda turut menyampaikan Anugerah Masjid Terbaik Kategori Bandar yang dianugerahkan kepada Masjid Tunku Sallehuddin, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani yang membawa pulang RM20,000.00, Sijil Penghargaan dan hadiah iringan manakala Anugerah Masjid Terbaik Kategori Luar Bandar dianugerahkan kepada Masjid Nurul Iman, Gulau, Sik yang membawa pulang RM20,000.00, Sijil Penghargaan dan hadiah iringan.
Sumber : Warta Kedah