MPKK BANGUNKAN KOMUNITI SETEMPAT MELALUI KESUKANAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT

KULIM (24 JUN 2024) – Program Kemampanan Komuniti Bandar & Karnival Kemeriahan Komuniti Kulim 2024 (4K) yang diadakan ini berkonsepkan program rakyat melibatkan pelbagai aktiviti menarik, pameran agensi dan kesukanan telah diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen berkata penganjuran program ini adalah usaha Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) untuk mencapai matlamat program meliputi tiga aspek iaitu Pembangunan Komuniti, Program Kesukanan dan Program Khidmat Masyarakat.

“Selaku penganjur, pihak MPKK telah mengadakan beberapa jenis permainan dan aktiviti rakyat antaranya Sepak Penalti, Street Soccer, Sepak Raga Tuju, Boling Buah Nyok, Memanah, E-sport untuk golongan belia, Pertandingan Memasak dan Pertandingan Mewarna bagi kategori kanak-kanak manakala Fun Ride pula akan diadakan pada malam ini.

“Tidak ketinggalan juga pengisian program juga dilaksanakan seperti Malam Kulim Berselawat yang telah diadakan pada 20 Jun 2024 yang lalu. Pendek kata, pertandingan-pertandingan yang diadakan mencakupi semua golongan sama ada wanita, lelaki, kanak-kanak, remaja, merangkumi seisi keluarga.

“Begitu juga dengan penglibatan pameran oleh jabatan atau agensi merupakan usaha tambahan bagi menyebar luas perkhidmatan, peranan, fungsi dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh MPKK dan agensi di samping merapatkan jurang antara pihak majlis, agensi dengan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Program Kemampanan Komuniti Bandar & Karnival Kemeriahan Komuniti Kulim 2024 (4K) di Taman Tasik Putra di sini, semalam.

Hadir sama Yand Dipertua MPKK, Dato’ Elmi Yusoff; ADUN Lunas, Khairul Anuar Ramli; Yang Dipertua Kulim Hi-Tech, Abdul Halim Hassan dan Ketua WHIP Ahli Majlis MPKK, Badrol Hisam Mohd Yusoff.

Dalam perkembangan sama, Wong barkata program ini melibatkan penduduk daripada setiap 18 Zon Ahli-Ahli Majlis adalah untuk memupuk semangat kerjasama erat antara penduduk dengan agensi-agensi perkhidmatan agar penekanan isu kebersihan adalah menjadi tanggungjawab bersama.

“Majlis Pelancaran Gotong Royong Semarak Komuniti telah dilancarkan pada 27 Disember 2023 yang lalu dan kini program-program gotong royong giat dan berterusan dilaksanakan oleh Ahli Majlis bersama komuniti penduduk.

“Pelancaran Penanaman Pokok Teduhan di bawah Program Pemuliharaan Alam Sekitar Daerah Kulim bagi Tahun 2024 pula telah diadakan pada 10 Mac 2024 yang lalu juga bertempat di Taman Tasik Putra ini,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah