JAWATANKUASA KHAS RENTAS SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND PERLU DIWUJUDKAN

ALOR SETAR (06 MEI 2024) – Kerajaan Negara Thailand mencadangkan supaya diwujudkan satu Jawatankuasa Pembangunan Sempadan antara Thailand dan Negeri Kedah khasnya bagi memudahkan urusan rentas sempadan dan pelbagai kemudahan lain termasuk usahasama perdagangan, perniagaan, pelancongan dan lain-lain lagi melibatkan hubungan antara Thailand dan Kedah.

Gabenor Wilayah Songhkla, Somnuk Promkeaw berkata kerjasama yang sedia terjalin antara Negara Thailand dan Negeri Kedah perlu diteruskan terutama dalam sektor pelancongan, pendidikan, perdagangan, perhotelan dan juga kebudayaan serta lain-lain lagi.

“Pada hari ini kami dapat mengadakan perbincangan yang sangat membina dalam mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara dua negeri di mana saya membawa bersama deligasi terdiri dari timbalan-timbalan saya, pegawai daerah, pegawai polis dan pegawai imigresen dari Wilayah Songhkla untuk sama-sama berbincang dengan pihak Kerajaan Negeri Kedah tentang beberapa perkara berkaitan sempadan negara.

“Terdapat banyak isu yang dibincangkan terutama dari segi pelancongan dan beberapa langkah akan diambil untuk mempromosikan pelancongan Malaysia kepada masyarakat Thailand bagi menggalakan rakyat Thailand berkunjung ke Malaysia dan begitulah sebaliknya.

“Isu peningkatan kerjasama dari segi pembangunan pendidikan yang turut dibincangkan akan di bawa ke Universiti Utara Malaysia (UUM) mengenai penubuhan Pusat Pembangunan Pembelajaran Bahasa di Songhkla yang akan memberi fokus kepada pembelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

“Selain dari itu pihak kami juga ingin mempromosikan kerjasama sempadan dengan mencadangkan supaya diwujudkan satu Jawatankuasa Pembangunan Sempadan yang akan memudahkan kerjasama dari segi ekonomi, pelancongan dan pendidikan pada masa akan datang di mana ianya akan terus diperbincangkan pada masa diadakan kunjungan balas oleh deligasi dari Negeri Kedah dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan perbincangan dan ramah mesra antara deligasi dari Songhkla, Thailand bersama Kerajaan Negeri Kedah sempena Kunjungan Hormat Governor Songkhla, Thailand bertemu Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata pihak Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik di atas apa juga cadangan dan saranan yang diperbincangkan dalam pertemuan antara deligasi Songhkla dan Negeri Kedah termasuk isu pendidikan, pelancongan, perdagangan, pengangkutan dan lain-lain lagi bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Songhkla dan Kedah.

“Saya amat berterima kasih di atas perbincangan yang diadakan sebentar tadi dan berharap segala isu yang dibincangkan akan menjadi kenyataan dan akan dibawa keperingkat seterusnya terutama isu kemudahan kemasukan kenderaan perdagangan yang membawa barangan segar dari Thailand ke Malaysia dan mempertingkatkan sektor pelancongan di mana kemasukan pelancong dari Malaysia ke Thailand begitu ramai sekitar 4.8 juta orang setahun tetapi kemasukan pelancong Thai agak kurang sebanyak 1.3 juta sahaja.

“Saya dimaklumkan perkara ini berlaku adalah kerana kesukaran warga Thai berbahasa Melayu dan Inggeris berbanding pelancong Malaysia yang lebih fasih berbahasa Thai dan Inggeris namun sebahagian besarnya dapat berbahasa Thai.

“Oleh kerana dalam perbincangan tadi tiada wakil dari agensi-agensi di pihak Kerajaan Persekutuan, maka ada beberapa isu yang tidak dapat disediakan jawapan pada kali ini, namun di pihak kita akan diadakan satu lawatan balas dari Kedah ke Wilayah Songhkla, Thailand pada masa terdekat.

“Pada hari ini juga kita bersetuju mewujudkan ‘working group’ bagi tujuan menyelesaikan isu-isu ini untuk kebaikan bersama terutama sekali dalam bidang kuasa kerajaan negeri termasuk sektor perdagangan, pelancongan, pendidikan dan budaya. Untuk isu-isu yang berkaitan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri akan memohon agensi-agensi persekutuan untuk turut serta dalam lawatan balas ke Songhkla nanti,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah