KERAJAAN NEGERI BERI TUMPUAN MENINGKATKAN MUTU PERKHIDMATAN PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (06 MAC 2024) – Komitmen, sokongan dan kerjasama Kerajaan Negeri di bawah teraju Menteri Besar, jabatan dan agensi-agensi kerajaan serta rakyat Kedah keseluruhannya meletakkan Kedah pada satu aras baharu dalam industri pelancongan negara, dan pada masa yang sama memastikan Tahun Melawat Kedah 2025 akan beroleh kejayaan dan kegemilangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata Kedah perlu memajukan lagi kawasan-kawasan pelancongan sedia ada di negeri ini, di samping mempergiatkan usaha-usaha promosi memandangkan Kedah mempunyai banyak pulau-pulau yang menarik tetapi tidak dibangunkan atau dimanfaatkan sepenuhnya bagi dijadikan tarikan pelancong.

“Keperluan memberikan kursus dan latihan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan bagi tujuan meningkatkan mutu perkhidmatan juga amat penting setanding dengan negara jiran iaitu Thailand yang mempunyai daya penarik tersendiri.

“Memang benar jumlah pelancong kita ke Thailand lebih tinggi, berbanding kemasukan pelancong Thailand ke negara ini tetapi di sebalik itu dalam senyap, Malaysia sebenarnya telah pun mengalahkan Thailand dari segi kehadiran pelancong pada tahun 2023. Laporan oleh VN Express International yang berpangkalan di Vietnam pada 27 Februari 2024 menunjukkan Malaysia sebagai ‘The Most Visited Country in Southeast Asia throughout 2023’, dengan kehadiran hampir 29 juta pelancong, manakala Thailand berada di tempat kedua dengan 28 juta, diikuti Singapura (13.6 juta), Vietnam (12.6 juta) dan Indonesia (11.7 juta).

“Bagi saya adalah perkara biasa apabila warga sesebuah negara itu tertarik untuk melancong ke negara orang apabila berkemampuan. Thailand sendiri berdepan dengan masalah pasang surut pelancongan domestik. The Nation, sebuah akhbar terkemuka Thailand semalam (5 Mac 2024) menyiarkan berita yang antara lain menyebut hasil kajian menunjukkan lima destinasi pilihan rakyat Thailand bagi tujuan melancong tahun ini ialah Jepun, Korea Selatan, China, Australia dan Singapura.

“Bagi kita di Kedah ini, cabarannya adalah bagaimana hendak menarik pelancong-pelancong tempatan yang menghala ke Thailand itu singgah di Kedah dan pelancong-pelancong luar yang berada di Thailand terdorong untuk meneruskan perjalanan mereka ke sini. Pihak saya, dengan kerjasama Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), MOTAC dan agensi-agensinya serta semua pemegang taruh lain sentiasa berusaha ke arah itu. Beberapa langkah promosi yang lebih aggresif sedang dirancang, pakej-pakej menarik dengan kerjasama pemain industri sedang disusun, program-program berimpak tinggi sedang diatur manakala produk-produk sedia ada terus digilap dan produk-produk baharu akan diangkat serta dimajukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah dalam Persidangan Dewan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Salleh berkata memang benar Kedah memiliki banyak pulau yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan. Malah selain daripada Pulau Langkawi, empat pulau-pulau di Kedah telah disenaraikan sebagai Pulau Taman Laut iaitu Pulau Payar, Pulau Kaca, Pulau Lembu dan Pulau Segantang. Dalam pada itu, usaha juga sedang dibuat secara berterusan untuk mengangkat pulau yang berpotensi seperti Pulau Songsong agar dibangunkan lagi dengan kaedah-kaedah yang tidak merosakkan ekosistemnya dan pelaksanaan juga harus dilaksanakan secara mampan mampu menjadi tarikan utama di kalangan para pecinta alam semulajadi.

“Pembangunan pulau secara umumnya tidak boleh dilakukan sebarangan. Ada yang boleh, ada yang tidak. Ada terma peraturannya yang ditetapkan terutama oleh PLANMalaysia. Setiap pulau harus ditangani dengan garis panduan sedia ada. Sifatnya harus ditentukan sama ada ia ‘pulau perdagangan’ seperti Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan Pulau Labuan, atau ‘pulau peranginan’ seperti Pulau Pangkor dan Pulau Tioman, atau pulau taman-taman laut atau pulau yang dilindungi. Selain mengenal pasti statusnya, pembangunan pulau juga memerlukan kajian mendalam mencakup pelbagai aspek, terutama kesannya terhadap komuniti marin, selain kajian terhadap persepsi komuniti tempatan.

“Mengenai kursus dan latihan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan, saya percaya bahawa sehebat mana pun produk yang ditawarkan, pada penghujungnya yang akan dinilai adalah perkhidmatan yang disediakan. Atas sebab itulah usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan akan terus dibuat melalui pelbagai kaedah, sama ada ada berbentuk kursus, latihan mahupun hadiah penghargaan kepada yang menawarkan perkhidmatan terbaik.

“Secara bersama kita sesungguhnya sedang mendokong satu misi besar iaitu untuk membina ‘The Greater Kedah’ sebagaimana dihasratkan oleh Menteri Besar kita dan dengan statusnya sebagai penyumbang kedua terbesar kepada KDNK Kedah, sektor Pelancongan merupakan antara katalis utama bagi mencapai cita-cita itu,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah