ALOR SETAR (06 MAC 2024) – Pihak Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian dalam pembangunan belia dan sukan. Pelbagai rangka, strategi dan kaedah akan dan telah dilaksanakan bagi menangani masalah dan merealisasikan langkah yang terbaik untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Kerajaan juga telah mewujudkan satu badan diperingkat negeri yang akan bekerjasama dengan Jabatan Belia Dan Sukan Negeri dan Majlis Belia Negeri dalam memastikan pembangunan belia dapat dibuat secara menyeluruh merangkumi pembangunan insan, pertanian, usahawan, inovasi dan lain-lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menganjurkan program latihan kemahiran untuk golongan belia. Di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah terdapat dua institusi latihan kemahiran iaitu Institut Kemahiran Belia Negara Jitra dan Institut Kemahiran Belia Naka. Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ini menganjurkan skim latihan kemahiran belia jangka panjang yang menawarkan pensijilan Sijil Kemahiran Belia Malaysia (SKM) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) serta kursus jangka pendek di bawah ‘Skills For Life’ dan Program Bootcamp@ILKBS.
“Program Bootcamp@ILKBS merupakan program jangka pendek yang menawarkan peluang pekerjaan. Program ini dibangunkan secara kerjasama dengan majikan utama di kalangan industri yang memerlukan tenaga kerja bagi sesuatu bidang kemahiran yang telah dikenal pasti. Kurikulum latihan direka bentuk dengan menumpukan kepada kemahiran teras penting supaya latihan yang dilaksanakan menggunakan format dan situasi yang paling menyerupai persekitaran tempat kerja sebenar. Peserta yang tamat latihan akan ditawarkan terus untuk bekerja dengan gaji minimum RM1,500.00.
“Dalam usaha membentuk golongan belia negeri Kedah ke arah Belia yang mempunyai wawasan pada masa akan datang, KBS dan Kerajaan Negeri telah merangka beberapa program yang melibatkan pembangunan belia diseluruh negeri Kedah sehingga ke peringkat akar umbi. Untuk makluman, terdapat 679 Persatuan Belia di seluruh negeri Kedah yang merangkumi 12 daerah yang turut melibatkan belia-belia di peringkat mukim. Persatuan Belia adalah NGO yang membantu golongan belia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berfaedah di sekitar komuniti masing-masing.
“Antara program yang dilaksanakan oleh JBS Negeri Kedah adalah seperti Anugerah Perdana Belia Negara (APBN), Pewujudan Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Rakan Muda di 12 daerah, Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Kedah dan Intervensi Sosial Inisiatif Belia Sejahtera Kem Anak Muda (KAMU),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Kerajaan perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah dalam Persidangan Dewan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam pekembangan sama, Radhi berkata selain program-program yang telah disusun tadi kerajaan juga menyediakan program keagamaan dan kerohanian kepada golongan belia termasuk program Tadarus dan Khatam Al-Quran dan Kem Belia Sejahtera.
“Program Tadarus dan Khatam Al-Quran adalah program tahunan di bawah JBS Negeri Kedah kepada golongan belia di peringkat daerah. Program ini bertujuan sebagai satu pengisian masa lapang yang bermanfaat dan sebagai satu platform untuk menarik minat golongan belia untuk membudayakan amalan Sunnah sepanjang bulan Ramadan. Pada tahun 2023, seramai 520 orang golongan belia dari 12 daerah telah menjayakan program ini.
“Selain itu, di bawah jawatankuasa Belia dan Sukan juga telah melaksanakan program Kem Belia Sejahtera yang disertai oleh hampir 70 orang peserta dalam kalangan pelajar sekolah. Program ini lebih memfokuskan kepada pembentukan sahsiah diri, kemenjadian belia di samping menekankan asas–asas agama dalam kehidupan seharian sebagai seorang muslim,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah