PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PERLU MELAHIRKAN TADBIR URUS YANG BAIK

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (01 JANUARI 2024) – Para pegawai dan pengkhidmat awam di negeri ini dinasihatkan supaya melahirkan satu jabatan atau institusi yang mempunyai tadbir urus yang baik ‘good governance’. Segala peraturan dan pekeliling yang ditetapkan oleh kerajaan atau jabatan diikuti dengan baik. Dengan cara itu semua kakitangan akan menjadi pekerja yang baik dan dapat menguruskan masyarakat di negeri ini dengan sempurna.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata pegawai perkhidmatan awam mesti mempunyai tanggungjawab dengan tugas masing-masing dan tahu apakah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Selain itu, sikap kebertanggungjawaban juga perlu bagi memudahkan apa saja pekerjaan yang dihadapi.

“Sebagai penjawat awam perlulah ada nilai-nilai yang positif dalam masa bekerja. Kalau nilai-nilai ini ada dalam diri dan kehidupan kita akan berjaya menghadapi apa saja cabaran, dugaan dan tentangan yang dihadapi terutama di Jabatan Perhutanan di mana pelbagai kerenah dari pelbagai lapisan dari pihak pelanggan yang perlu dihadapi.

“Kita hendaklah sentiasa berfikiran positif bahawa kita bekerja untuk menyelesaikan masalah di mana pihak pelanggan yang datang berurusan mempunyai bermacam kerenah maka kita perlu meletakkan ‘positif thinking’ dalam diri kita bahawa kita bekerja menyelesaikan masalah bukan menganggap pelanggan itu bertujuan mengganggu kita dan kita menjadi permudahcara untuk mereka.

“Era sekarang ini kakitangan kerajaan berhadapan dengan masyarakat yang cerdik, berpelajaran dan mempunyai ilmu dalam media sosial tidak seperti dahulu di mana masyarakat kurang berilmu dalam bidang itu. Sebarang tindak-tanduk dan sedikit kesilapan oleh kakitangan kerajaan akan ditularkan dalam ‘medsos’. Inilah satu perkara yang kita kena berhati-hati dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di mana tohmahan, keluhan, aduan walaupun perkara itu tidak betul tetapi dibesarkan-besarkan dan akan menjadi keburukan kepada Jabatan. Oleh itu, adalah diharapkan kakitangan kerajaan sentiasa berhati-hati dan berwaspada serta perlu bersikap positif dalam memberikan perkhidmatan masing-masing.

“Selain itu, selalulah meletakkan sifat dalam diri kita dalam sifat orang lain dengan mengganggap pelanggan yang datang meminta tolong untuk menyelesaikan masalah mereka dan kita mengganggap itu adalah masalah kita, maka kita akan tolong selesaikan masalah tersebut. Jika sekiranya kita bersikap tidak melayani pelanggan dengan baik, macam mana diri kita dan jabatan dapat melahirkan good governance,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Ruang Pejabat Baharu Aras 8, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah di Bangunan Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Muhammad Abdullah; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Ir. Mohd Fizal Ismail; Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Zainuddin Jamaluddin dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri, Mohd Asri Yussof.

Dalam perkembangan sama, Norizan berkata Kerajaan Negeri komited memperkasakan pejabat Jabatan Perhutanan Negeri dan sistem pekerjaan di pejabat dengan memberi satu semangat baharu dalam menempuh alam perkhidmatan menjelang tahun 2024.

“Kita menyedari bahawa Jabatan Hutan merupakan salah satu jabatan yang menyumbang kepada Kerajaan Negeri selain daripada Pejabat Tanah Dan Galian Negeri (PTG). Inilah dua agensi yang besar yang menyumbang hasil kepada Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri mestilah bertanggungjawab untuk memberi kembali suasana dan keadaan ruang pejabat yang diperkasakan dalam bentuk baharu untuk keselesaan dan dapat dinikmati oleh semua kakitangan bekerja.

“Salah satu elemen dalam kita memperkasakan dan meningkatkan produktiviti kerja kita adalah, kita kena mendapat ruang kerja yang selesa dan kondusif. Itu sebabnya ciri-ciri ini diberi penekanan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja.

“Kalau di rumah kita tidak sempurna atau tidak bersih serta berserabut, tak selesa macam mana kita nak jadikan ‘Rumahku Syurgaku’. Begitu juga di pejabat, kalau pejabat itu cantik, bersih, kemas, ruangan yang baik akan mendatangkan keselesaan dan keseronokan untuk hadir ke pejabat dan bekerja. Keceriaan pejabat akan mendatangkan keceriaan pekerjanya.

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya Jabatan Perhutan yang telah banyak memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang tahun 2023 kepada Kerajaan Negeri. Jasa dan bakti daripada anda semua, Kerajaan Negeri amat menghargai dan hendaklah diteruskan dan ditingkatkan produktiviti dengan lebih tinggi,” ujarnya.

Sumber : Facebook – Warta Kedah