PERKASAKAN PENERAPAN NILAI MURNI DI KALANGAN BELIA

FOTO WARTA KEDAH

YAN (23 DISEMBER 2023) – Kerajaan Negeri Kedah sentiasa memberi fokus ke arah pembangunan belia disamping memberi penekanan dalam usaha untuk menyerlahkan bakat kepimpinan, memperkasakan ekonomi belia dan meningkatkan kemahiran serta nilai murni dikalangan golongan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata program yang dirangka selama tiga hari dua malam ni merupakan pendekatan pertama yang diambil oleh Kerajaan Negeri dibawah Jawatankuasa Belia Negeri Kedah ke arah Belia Rabbani di negeri ini.

“Dalam menjamin kemakmuran dan kemajuan negara agar sentiasa membangun secara berterusan, golongan pelapis iaitu belia amat diperlukan dimana golongan ini merupakan pewaris yang bakal mencorakkan negara dan menjadi pemimpin bagi menerajui negara pada masa hadapan.

“Golongan belia merupakan aset yang amat berharga sekali gus menjadi tonggak dan kekuatan masa depan negara dan negeri. Maju dan mundurnya sesebuah negara itu adalah bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketokohan para belia dalam mencapai pembangunan lebih-lebih lagi ke arah merealisasikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan ‘The Greater Kedah’ yang dibawa oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Mereka ini perlu diasuh, dididik dan diberikan bimbingan yang betul sehingga mereka menjadi insan-insan yang beriman, berilmu, beramal, dan mempunyai akhlak mulia kerana ia akan mengukuhkan jati diri dan menjadikan mereka belia yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

“Fokus utama kemajuan sesebuah negara bukan hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur berasaskan pembangunan material semata-mata, tetapi perlu melibatkan pembentukan modal insan yang berkualiti melalui pendekatan menyeluruh terhadap amalan nilai murni yang mendasari aspek moraliti dan tingkah laku.

“Nilai murni bukan hanya melibatkan tingkah laku positif tetapi turut melibatkan peradaban manusia, tatasusila serta hubungan langsung dengan sang pencipta, manusia dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Perasmian Penutup Kem Belia Sejahtera 2023 di Kem D’Fityan, Yan di sini hari ini.

Hadir sama wakil Parlimen Jerai, Yusri Saad; Mudir Maahad Tahfiz Al-Fityan, Ustaz Muhamad Sufian Suib; Pengarah Sekretariat Belia Sejahtera, Ustaz Saiful Syazwan Shafie dan Kem Komandan Kem Belia Sejahtera, Abdul Latif Mohd Najib.

Dalam perkembangan sama, Radhi berkata kelunturan nilai moral dalam diri juga telah menjadikan golongan belia kurang peka dan tidak endah dengan apa yang dikongsikan secara terbuka dimana pada masa kini, kewujudan media sosial yang menjadi medium komunikasi terbuka bagi golongan belia membahaskan isu-isu sensitif yang mampu mencetuskan kemarahan jika ia melibatkan kelompok masyarakat tertentu.

“Kebebasan bersuara yang diberikan oleh perlembagaan Malaysia telah disalah guna hingga menyebabkan berlakunya salah faham yang mengundang kepada perpecahan kaum dimana nilai murni melalui sifat-sifat luhur serta kesantunan budi bahasa yang dulu menjadi kebanggaan masyarakat Malaysia semakin terhakis malahan identiti dan jati diri masyarakat Malaysia semakin luntur. Ini merupakan cabaran utama pada masa kini dalam membentuk sahsiah diri dikalangan belia.

“Pembentukan rohani, emosi, intelek dan jasmani perlu bersepadu dan seiring agar kehidupan para belia mampu berjalan dengan sempurna dan terbentuk akhlak belia rabbani,” ujarnya.

Sumber : Facebook – Warta Kedah