LIMA ’23: FERI KUALA KEDAH DAN KUALA PERLIS KE LANGKAWI DITAMBAH 40 TRIP

Perkhidmatan feri dari Terminal Kuala Kedah ke Pulau Langkawi. FOTO ARKIB NSTP

ALOR SETAR (23 MEI 2023): Perkhidmatan feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi ditambah kepada 40 trip sehari sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima ’23).

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, sebelum ini pihaknya hanya menyediakan 32 perkhidmatan feri sehari, namun ia ditambah kepada 40 trip bermula 25 Mei hingga 28 Mei ini berikutan sambutan ramai.

Beliau berkata, feri pergi dan balik dari Kuala Kedah dan Langkawi adalah sembilan trip perjalanan bermula 7 pagi hingga 10 malam setiap hari, manakala perjalanan pergi dan dari Kuala Perlis ke Langkawi adalah sebanyak 11 trip dalam tempoh masa sama.

“Trip perjalanan kami sediakan sehingga malam dan orang ramai boleh membuat tempahan perjalanan secara dalam talian untuk memudahkan pembelian tiket.

“Kita lihat sambutan Lima ’23 tahun ini amat memuaskan kerana ramai pelancong yang hendak masuk ke Langkawi pada saat akhir dan mendapat permintaan tinggi selepas pandemik Covid-19.

“Selain itu, promosi berkaitan Lima ’25 juga banyak membantu menarik perhatian orang ramai untuk mengunjungi Langkawi sekali gus menggunakan perkhidmatan feri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber : Harian Metro