SANUSI Md Nor (kiri sekali) disambut Abdul Gafar Yahya (dua dari kanan) sebaik tiba untuk menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Daerah Langkaw. FOTO Hamzah Osman
LANGKAWI (15 MEI 2023): Loji Rawatan Air (LRA) LRA Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech yang terjejas sejak semalam, kembali beroperasi mulai tengah hari ini, selepas paras air Sungai Muda kembali meningkat pagi tadi.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya Syarikat Air Darul Aman (SADA) bekerja keras bagi memulihkan operasi LRA terbabit sejurus kejadian air Sungai Muda dikesan pagi semalam.
“Alhamdulillah setakat tengah hari tadi, saya dimaklumkan semua LRA di Kedah dapat beroperasi semula, termasuk dua yang mengalami gangguan sebelum ini.
“Cuma saya harap Pulau Pinang dapat mengambil tindakan segera memperbaiki baraj berusia 55 tahun di sebelah negeri itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Langkawi di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, gangguan bekalan air tercetus apabila paras air di baraj sebelah Kedah berada pada tahap dua meter, namun di pihak Pulau Pinang berada bawah 1.55 meter.
“Pada paras itu (1.55 meter) di sebelah sana, difahamkan berlaku aliran air keluar setinggi 30 sentimeter, jadi air sungai menjadi terbuang begitu saja ke laut.
“Jadi, Pulau Pinang kena ambil tindakan segera membaiki baraj berusia 55 tahun di sebelah mereka,” katanya.Semalam, media melaporkan kira-kira 251,800 akaun di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas akibat penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak.
Susulan itu, Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan LRA Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech menghentikan operasi sehingga paras Sungai Muda kembali stabil.
Sementara itu, ketika berucap pada Malam Cinta Rasul di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) malam tadi, Muhammad Sanusi memaklumkan, kerosakan berlaku pada salah satu daripada 14 pintu baraj yang menyebabkan air Sungai Muda mengalir laju ke laut.
Katanya, pihak pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) yang mengawal baraj sudah mengambil tindakan sewajarnya dan membuat kerja baik pulih dengan air dari Empangan Beris juga dilepaskan bagi menangani isu berkenaan.
“Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) pada awalnya menjangkakan aliran air itu akan mengambil masa 72 jam untuk melimpah semula hingga ke baraj dan mencapai ketinggian dua meter. Ajaibnya selepas air itu dilepaskan tengah hari tadi (semalam), pada waktu ini (malam tadi), paras semua LRA mencecah 100 peratus.
“Keadaan itu menyebabkan air telah mengalir semula malam ini di sebahagian kawasan yang terputus bekalan air. Walaupun perancangan perlukan tiga hari, tetapi siapa tahu rahsia Allah, maka LRA yang tadinya ‘tergantung’, dah mula mengepam air untuk membekalkan air bersih kepada kira-kira 126,000 rumah yang terjejas,” katanya.
Sumber : Harian Metro