ALOR SETAR (9 FEBRUARI 2023) : Kes denggi di Kedah mencatatkan peningkatan 209.3 peratus membabitkan sejumlah 365 kes setakat Sabtu lalu, berbanding hanya 118 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata peningkatan itu dilihat agak tinggi, namun keadaan masih terkawal dengan tiada kematian dilaporkan setakat ini.
“Sehingga 4 Februari lalu, sebanyak 35 wabak direkodkan berbanding 13 bagi tempoh sama tahun lalu. Daripada 35 wabak denggi yang dilaporkan, 24 wabak sudah tamat, 10 masih aktif dan satu wabak tidak terkawal.
“Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 4 Februari juga, sebanyak 32,115 premis diperiksa dan 856 kompaun dengan nilai RM415,517.
“Kompaun terbabit dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 kepada pemilik premis yang dikesan terdapat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Mohd Hayati berkata, dengan peningkatan jangkitan denggi di negeri Kedah, pembabitan masyarakat dalam usaha kawalan wabak dan kes adalah mustahak.
Katanya, masyarakat bersama memikul tanggungjawab melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman dan premis masing-masing.
“Jabatan Kesihatan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan di semua kawasan berlakunya kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.
“Aktiviti kawalan vektor yang membabitkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan turut dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal atau wabak,” katanya.
Sumber : Harian Metro