ULAM REBUS RAHSIA UMUR PANJANG

Mardzi Abu Bakar berusia 109 tahun diiktiraf sebagai wanita tertua di hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman.

ALOR SETAR (14 DISEMBER 2022) : Gemar makan ulam-ulaman dan makanan yang direbus menjadi antara petua yang diamalkan oleh seorang wanita berusia 109 tahun.

Mardzi Abu Bakar yang dilahirkan pada 1913 diiktiraf sebagai wanita tertua di Kedah dalam sambutan Hari Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Menurut ibu kepada lapan orang anak ini, dia tidak mempunyai petua istimewa kecuali menjaga pemakanan dan mengelak makanan yang berminyak.

“Selain ulam-ulaman saya suka makan asam pedas dan kerabu, makanan berminyak saya kurang makan apatah lagi makanan yang diproses.

“Yang penting sebagai seorang Islam kita perlu menjaga solat fardhu dan banyakkan berzikir dan solat sunat, itu yang lebih baik bagi menunjukkan rasa syukur dengan nikmat yang diberikan Allah,” katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan dan wang saguhati pada majlis berkenaan yang disampaikan oleh Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Nenek kepada 30 cucu dan 11 cicit ini berkata dia rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memilih beliau untuk menerima pengiktirafan itu.

“Alhamdulillah sehingga sekarang saya tidak mempunyai penyakit kecuali masalah tulang kerana faktor usia…dulu zaman muda saya banyak membanting tenaga di sawah bersama arwah suami untuk membesarkan anak-anak.

“Kehidupan pada zaman dulu amat susah apatah lagi saya pernah melalui kehidupan pada zaman penjajahan Jepun. Sebab itu saya selalu nasihatkan anak-anak supaya belajar jika mahu mengubah kehidupan,” katanya yang ditemani anak bongsunya Mohammad Asri Marzuki, 50.

Dua anak Mardzi meninggal dunia ketika kecil, bagaimanapun enam orang anaknya berjaya termasuk menjadi pegawai kerajaan serta mempunyai perniagaan sendiri.

Sementara itu, Mohammad Asri berkata ibunya masih dapat berjalan di rumah dengan menggunakan tongkat.

“Ibu saya selalu amalkan solat sunat duha selain dia juga tidak suka bercerita hal orang lain, dia selalu pesan supaya kami usaha sendiri jika hendakkan sesuatu, jangan ambil hak orang lain tanpa izin.

“Mak saya kata perkara-perkara seperti ini akan membuatkan hati menjadi tenang,” katanya.

Sumber : Harian Metro