AIR PASANG DI BEBERAPA KAWASAN DI KUALA KEDAH

Anggota APM Kota Setar melakukan pemantauan di kawasan dinaiki di sekitar Kuala Kedah. FOTO IHSAN APM

ALOR SETAR (12 OKTOBER 2022) : Fenomena air pasang besar yang melanda Kuala Kedah pada hari kedua, hari ini, mencatatkan paras bacaan air laut setinggi 2.93 meter (m).

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, bacaan paras air laut itu melepasi ramalan iaitu 2.90 m dan meningkat berbanding semalam iaitu 2.92 m.

Beliau berkata, terdapat sedikit kenaikan paras air di Pasar Kota Nelayan, Terminal Feri Kuala Kedah kesan dari air pasang berkenaan.

“Terdapat sedikit limpahan air di Taman Seri Putra, namun tidak memasuki kediaman penduduk.

“Selain itu, terdapat beberapa rumah di sepanjang Jalan Tok Pasai turut dimasuki air tetapi surut tidak lama kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norlizawati berkata, anggota APM turut melakukan pemantauan di sekitar kawasan Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Kampung Tepi Laut.

Beliau berkata, pemantauan dilakukan bermula 1.40 pagi hingga 2.45 pagi tadi.

“Namun, tiada kenaikan air berlaku di Kampung Tepi Laut,” katanya.

Dalam pada itu, Norlizawati berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan di sekitar kawasan berisiko banjir di sekitar kawasan sungai di daerah Kota Setar.

Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati, paras air di lokasi dipantau di sungai terbabit menunjukkan penurunan.

Sumber : Harian Metro