1.8 JUTA PELANCONG DALAM TEMPOH 9 BULAN

NASARUDDIN (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Presiden Persatuan Karom Malaysia, Samohan Md Kassim (dua dari kiri). FOTO Hamzah Osman.

LANGKAWI (4 OKTOBER 2022) : Pulau peranginan ini terus mencatat peningkatan kemasukan pengunjung apabila kira-kira 1.8 juta pelancong dicatat bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata, lonjakan itu agak besar berbanding unjuran awal dibuat pihaknya sebelum ini.

“Secara purata kira-kira 200,000 pelancong melawat Langkawi setiap bulan, malah catatan bulan lalu adalah tertinggi tahun ini iaitu 252,000 pelancong.

“Sehingga akhir September, 1.8 juta pelancong masuk ke Langkawi dan angka ini membuktikan kedatangan pelancong tidak berkurangan seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Karom Dunia Kali Kelapan di sini, malam tadi.

Nasaruddin berkata, data kemasukan pelancong dikeluarkan LADA adalah sah dan diguna pakai pelbagai pihak kerana pengumpulan maklumat berkaitannya dibuat secara harian.

“Data dikumpul secara harian membabitkan tiga pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Jeti Kuah dan Dermaga Tanjung Lembung.

“Pelancong diyakini terus mengunjungi Langkawi sepanjang baki dua bulan terakhir tahun ini, untuk membantu kita mencapai sasaran 2.5 juta pelancong,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kejohanan Karom Dunia kali ke-8 yang berlangsung selama lima hari berakhir Jumaat ini disertai 250 peserta mewakili 18 negara.

“Kejohanan ini bermula pada 1991 di Colombo, kini bersambung di Langkawi, setelah Birmingham, United Kingdom menjadi tuan rumah kali ketujuh pada 2016,” katanya.

Sumber : Harian Metro