PKNK CASHLESS PERKASA EKONOMI MELALUI TEKNOLOGI DIGITAL

ALOR SETAR (05 Januari 2025) – PKNK Cashless merupakan satu kempen hasil kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bermula dari 1 Oktober 2024 sehingga 31 Disember 2024.

Kempen ini diwujudkan untuk menggalakan para peniaga dan pembeli untuk berurusan menggunakan servis pemindahan DuitNow QR. Pembayaran tanpa tunai ini lebih cepat dan mudah berbanding dengan penggunaan wang tunai. Transaksi boleh dilakukan hanya dengan satu sentuhan atau imbasan, mengurangkan masa beratur dan lebih selamat untuk digunakan.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini mengumumkan pelbagai pencapaian membanggakan hasil daripada kempen PKNK Cashless yang dilaksanakan selama setahun. Menurut beliau, kempen ini telah berjaya memperkenalkan beberapa inisiatif penting untuk memperkasakan ekonomi negeri Kedah melalui teknologi digital.

“Pencapaian utama yang patut dibanggakan adalah penubuhan UTC Sungai Petani sebagai UTC Cashless pertama di negeri Kedah yang menjadi perintis dalam usaha pendigitalan ekonomi. Selain itu, bazar niaga cashless turut diperkenalkan bagi menyediakan platform yang lebih selamat, efisien dan mesra pelanggan kepada para peniaga.

“Program-program keusahawanan yang dirangka turut memberikan bimbingan kepada para usahawan dalam memanfaatkan teknologi digital untuk perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penutup Kempen PKNK Cashless di Dewan Ukir Mall, Alor Setar di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Dato’ Wira Isahak Murad; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa.

Dalam perkembangan sama, Sanusi juga merakamkan penghargaan kepada PAYNET sebagai rakan strategik yang telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan kempen ini selain sumbangan dalam meningkatkan kesedaran dalam penerimaan transaksi tanpa tunai di negeri Kedah.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab memperkasakan ekonomi negeri, PKNK akan terus komited membantu para usahawan menghadapi cabaran ekonomi digital. Pendigitalan perniagaan bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti, tetapi juga memperluaskan pasaran para usahawan ke peringkat yang lebih tinggi.

“PKNK akan terus berusaha untuk memastikan bahawa usahawan Kedah dapat memanfaatkan peluang pendigitalan untuk perkembangan perniagaan mereka,” ujarnya.

Kempen ini turut menawarkan 170 hadiah menarik termasuk dua buah motosikal dan dua buah iPhone 16 sebagai ganjaran kepada usahawan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan transaksi tanpa tunai dan hadiah-hadiah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Kedah kepada para pemenang.

Sumber Berita : Warta Kedah