BAJET 2025 : KEDAH UMUM PERUNTUKAN KESELURUHAN BERNILAI RM1.26 BILION

ALOR SETAR (24 November 2024) – Bajet Tahun 2025 Negeri Kedah dirangka dengan meneruskan kesinambungan agenda membangunkan Negeri Kedah berpaksikan ‘Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah’ berlandaskan konsep ‘Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua’.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata jumlah keseluruhan peruntukan bajet kali ini sebanyak RM1.26 bilion. Terdapat beberapa perbezaan di mana pada tahun 2024 bajet hasil sebanyak RM748 juta manakala untuk tahun 2025 berlaku peningkatan sebanyak RM42 juta menjadikan jumlah keseluruhan hasil RM790 juta.

“Hasil cukai pula anggaran yang dibuat bagi tahun 2025 ini ialah RM364.9 juta berbanding tahun 2024 berjumlah RM354.22 juta. Hasil bukan cukai tahun 2025 sebanyak RM250.16 juta dan bagi tahun 2024 yang dianggarkan sebanyak RM223.42 juta. Terimaan bukan hasil tahun 2024 sebanyak RM170.35 juta dan untuk tahun 2025 dianggarkan sebanyak RM174.85 juta.

“Bagi perbelanjaan mengurus dianggarkan pada tahun 2025 meliputi kos sebanyak RM889.9 juta berbanding anggaran tahun 2024 sebanyak RM853 juta. Tahun 2024 anggaran bajet defisit sebanyak 14.05 peratus manakala tahun 2025 bajet defisit dianggarkan berjumlah 12.65 peratus.

“Bagi belanja pembangunan dianggarkan sebanyak RM209.78 juta berbanding anggaran tahun lepas sebanyak RM211.77 juta. Bagi anggaran pembangunan hutan dianggarkan pada tahun ini sebanyak RM4.55 juta manakala tahun lepas sebanyak RM14.75 juta. Terdapat perbezaan ketara jumlah peruntukan yang diluluskan pada tahun 2025 berbanding tahun 2024 kerana peruntukan bagi perbelanjaan Jabatan Hutan Negeri Kedah yang melibatkan peruntukan negeri dan terimaan ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation’ (EFT) dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

“Berkenaan bekalan air bagi tahun 2024 dahulu dianggarkan sebanyak RM1.28 juta tetapi untuk tahun 2025 ini dianggarkan sebanyak RM301 ribu kerana kerajaan telah membuat pinjaman untuk menyiapkan LRA Pelubang sebanyak RM246.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Ucapan Bajet 2025 sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15 (Mesyuarat Bajet) di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata dalam Ucapan Bajet 2025 tersebut juga telah diumumkan Bantuan Kewangan kepada penjawat awam negeri seramai 5,376 orang akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM2,000 dan akan dibayar pada bulan Mac sempena Aidilfitri dan Jun 2025 nanti.

“Selain itu, Kerajaan telah bersetuju supaya Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuatkuasa 1 Disember 2024. Selaras dengan pengumuman itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM30 juta tambahan secara keseluruhan kepada semua jabatan untuk tujuan pembayaran gaji semua Penjawat Awam Negeri Kedah yang menerima opsyen SSPA bermula Disember 2024.

“Dengan itu, sukacita saya umumkan kenaikan tersebut akan dibayar mulai gaji bulan Disember 2024. Kenaikan keseluruhan adalah berjumlah RM2 juta untuk tahun 2024,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah