KERAJAAN NEGERI KOMITED PELIHARA BUDAYA, ADAT RESAM DAN IDENTITI MASYARAKAT SIAM

SIK (15 November 2024) – Kerajaan Negeri Kedah sentiasa komited dan mengambil berat dalam usaha memelihara budaya, adat resam dan identiti masyarakat Siam di negeri ini agar tidak dilupakan, dengan menggalakkan penganjuran program dan aktiviti yang melibatkan msyarakat Siam.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam Dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen berkata usaha untuk memastikan hak masyarakat Siam di Negeri Kedah akan cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin mengikut undang-undang dan akta yang sedia ada.

“Pada hari ini, kita semua dapat perhatikan bahawa kemeriahan Pesta Loy Krathong yang diraikan Masyarakat Siam di Negeri Kedah juga turut dikongsikan bersama masyarakat pelbagai kaum. Saya menyeru kepada semua agar lebih menghargai seni budaya sendiri.

“Usaha untuk memelihara budaya dan warisan masyarakat yang wujud di negeri ini tidak hanya jatuh di bahu Kerajaan Negeri semata-mata, tetapi komuniti masyarakat tersebut perlulah memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan ianya ‘Tidak Lapuk Dek Hujan, Tidak Lekang Dek Panas’.

“Masyarakat Siam di negeri ini merupakan antara etnik minoriti, namun Kerajaan Negeri Kedah tetap memberikan keutamaan dan terus menyokong sambutan-sambutan yang melibatkan adat istiadat tradisional bukan sahaja masyarakat Siam tetapi semua kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya mewakili Menteri Besar Kedah sempena Majlis Sambutan Pesta Loy Krathong Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Wat Kalai, Kampung Kalai di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Speaker DUN Kedah, Abdul Razak Khamis; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Muhamad Amri Wahab; Pegawai Daerah Sik, Faizal Rizal Mohamad; Ketua Sami Negeri Kedah/Perlis, Phiranikroddhamathada (Chow Lap); Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Syafinaz Mohd Said dan Pengerusi Watt Kalai Sik, La Ohh A/L Ai Liang.

Dalam perkembangan sama, Wong berkata penganjuran program Sambutan Perayaan Loy Krathong Peringkat Negeri ini selain dapat memberi peluang dan pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri kepada masyarakat Siam, ianya juga boleh menjadi tarikan kepada masyarakat atau kaum lain yang terdapat di Kedah serta mampu menjadi satu produk pelancongan dengan menarik minat pelancong untuk merasai sambutan ini.

“Saya yakin dan berharap program seumpama ini akan dapat memupuk semangat bertolak ansur dan persefahaman di kalangan rakyat serta perpaduan antara kaum serta budaya.

“Oleh yang demikian, pihak Kerajaan Negeri mencadangkan akan menjadikan Pesta Loy Krathong dan Pesta Songkran, dua pesta kebudayaan masyarakat Siam ini sebagai salah satu produk pelancongan serta akan dimasukan dalam program Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025) nanti,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah