KERAJAAN NEGERI KOMITED BANTU GOLONGAN MISKIN MILIKI TANAH SENDIRI

YAN (16 November 2024) – Memiliki tanah memang satu keperluan dalam kehidupan kita. Dalam konteks negara, orang berperang, bertumpah darah dan membunuh untuk memiliki tanah yang telah berlaku sejak ribuan tahun dahulu dan terus berlaku hingga zaman ini. Dalam konteks keluarga, terdapat hingga putus silaturahim, berparang, tidak bertegur sapa hanya kerana berebut dan berdendam disebabkan oleh tanah pusaka.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata kehidupan seseorang boleh berubah dengan memiliki tanah. Kita tidak lagi perlu membayar sewa rumah jika memiliki tanah, sekurang-kurangnya untuk jadi tapak rumah. Atas dasar itu, Kerajaan Negeri Kedah telah mengambil langkah untuk menyediakan tapak rumah kepada golongan yang memerlukan di setiap daerah di negeri ini.

“Kerajaan Negeri sedaya upaya berusaha bagi memastikan isu berkaitan pemilikan tanah dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah dan mudah. Walaubagaimanapun, saya berharap saudara saudari faham bahawa urusan berkaitan hakmilik tanah ini mengambil masa yang agak lama melibatkan beberapa prosedur, undang-undang dan proses untuk menyempurnakan urusan pemberian hak milik.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi, bahawa saya sendiri secara peribadi bersama-sama pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan urusan pelupusan tanah kerajaan ini, diuruskan dengan cara terbaik, agar dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada semua pihak.

“Golongan kurang berkemampuan termasuk yang tidak mempunyai tanah untuk dijadikan tapak rumah sekurang-kurangnya sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan. Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menegur sikap sesetengah orang kaya yang sudah mempunyai tanah tetapi masih juga memohon tanah kerajaan.

“Jika orang kaya sudah mempunyai tanah, dan mahu tanah lagi, mereka seharusnya membeli tanah tersebut di pasaran. Jangan berebut memohon tanah kerajaan dengan orang miskin yang sememangnya tidak mampu untuk beli tanah dengan harga pasaran. Berilah mereka peluang untuk sekurang-kurangnya mendapat ruang tempat berteduh bersama keluarga dari hujan dan panas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyampaian Geran Dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) Bagi Daerah Yan di Dataran Kompleks Perniagaan Guar Utama, Guar Chempedak di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Muhamad Arof Darus dan Pegawai Daerah Yan, Maznim Ismail.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata tanah yang diterima ini adalah salah satu dari harta tak alih (harta kekal) yang dinamakan atas nama penerima. Mungkin ada yang telah menunggu bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan geran tanah dan LPS ini. Mungkin yang hadir untuk terima hari ini anak atau cucu kepada pemohon atau peneroka asal yang sudah tidak ada lagi di dunia ini.

“Pada hari ini seramai 48 orang akan menerima geran tanah manakala seramai 31 orang akan menerima Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Oleh itu, suka saya menasihatkan dan mengingatkan untuk hargailah harta yang anda terima ini kerana ianya bukan mudah. Jika yang terima ini anak atau cucu peneroka atau pemohon yang asal, kenanglah jerih payah dan pengorbanan mereka dahulu. Jangan mudah-mudah buat keputusan yang tidak menguntungkan untuk jangka masa panjang dan jangan biarkan tanah yang sudah dapat itu dipenuhi semak samun tidak membawa apa-apa hasil atau pulangan.

“Merancang pengurusan harta amat penting kerana ia bukan sekadar untuk mencapai kebahagiaan dan ketenangan di dunia, tetapi untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu keredhaan Allah dan kesejahteraan hidup di akhirat.

“Di kesempatan ini, perlu saya ingatkan, setelah memperolehi geran dan LPS adalah menjadi tanggungjawab saudara dan saudari untuk mengusahakan tanah yang diberi milik mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Ini bagi memastikan tujuan pemberi milikan tanah dan lesen pendudukan sementara digunakan bagi maksud dan aktiviti yang dibenarkan oleh Kanun Tanah Negara (Akta 828),” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah