YAN (16 November 2024) – Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali menghadiri Majlis Pelancaran e-Duit Desa bertempat di Dataran Kompleks Perniagaan Guar Utama, Guar Chempedak di sini hari ini. Majlis Pelancaran e-Duit tersebut dirasmikan secara bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Marzunisham Omar.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Marzunisham Omar dalam ucapannya berkata, menyedari pelbagai manfaat e-pembayaran kepada pengguna dan peniaga, BNM bersama industri kewangan dan Kerajaan komited memastikan setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang Selamat, Senang, dan Segera ini.
“Penggunaan e-pembayaran di Malaysia telah meningkat dengan pesat kebelakangan ini. Pada tahun 2023, rakyat Malaysia melakukan 11.5 bilion transaksi e-pembayaran berbanding 9.3 bilion transaksi pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus. Penggunaan kod DuitNow QR juga telah meningkat dua kali ganda pada tahun 2023 dengan 360 juta transaksi bernilai RM14.6 bilion. Perkembangan pesat ini disokong oleh dua juta peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga mikro. Justeru, Bank Negara Malaysia (BNM) yakin kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 400 transaksi e-pembayaran per kapita menjelang tahun 2026.
“Jalinan kerjasama ini telah membuahkan hasil apabila infrastruktur e-pembayaran telah dinaik taraf, merangkumi penambahan terminal e-pembayaran di kedai runcit dan pasar tani, serta peningkatan kualiti perkhidmatan Internet untuk memastikan transaksi yang lancar tanpa gangguan.
“Kerjasama ini turut diperluas melalui program pendidikan kewangan seperti program e-Duit Desa di Yan ini. Program e-Duit Desa ini pertama kali dilancarkan pada tahun 2020 untuk membantu masyarakat di luar bandar menggunakan e-pembayaran dengan lebih selamat. Pada tahun ini sahaja, kami telah melancarkan sembilan program e-Duit, termasuk hari ini.
“Melalui program ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan membina keyakinan orang ramai seterusnya menggalakkan lagi penggunaan e-pembayaran. Kejayaan yang dicapai sehingga kini merupakan hasil kerjasama erat antara BNM, industri kewangan dan pihak berkuasa tempatan dalam memacu perkembangan pembayaran digital. Di kesempatan ini saya ingin menyatakan penghargaan di atas usaha Kerajaan Negeri Kedah apabila hampir kesemua jabatan dan agensi telah menawarkan platform e-pembayaran.
“Saya yakin program ini juga memberi peluang kepada usahawan-usahawan desa untuk meneroka potensi perniagaan dalam talian. Dengan adanya platform e-duit, mereka kini boleh menjalankan perniagaan dengan lebih mudah, pantas, dan selamat. Saya yakin, inisiatif seperti ini akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan desa untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
“Justeru itu, saya menyeru semua yang hadir pada hari ini agar dapat mengambil peluang ini untuk belajar, bertanya dan memahami lebih lanjut tentang teknologi e-duit serta bagaimana ia boleh memudahkan kehidupan seharian dan meningkatkan kecekapan perniagaan.”Katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran E-Duit Desa,Yan Kedah Bertempat Di Dataran Kompleks Perniagaan Guar Utama, Guar Chempedak di sini hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Pegawai Daerah Yan, Maznim Ismail dan Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat Bank Negara Malaysia, Thomas Tan Koon Peng.
Dalam perkembangan yang sama Marzunisham berkata E-pembayaran telah mengubah cara kita menjalankan urusan kewangan seharian dan menjadikan hidup lebih mudah dan cekap. Pada masa yang sama, penggunaan digital ini juga menimbulkan risiko seperti penipuan kewangan jika tidak disertai dengan amalan keselamatan yang baik. Umpama kita menjaga wang tunai di dalam dompet, kita juga perlu berhati-hati supaya tidak terjebak menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian ataupun mangsa scam. Oleh itu, saya ingin mengingatkan orang ramai berkenaan langkah-langkah untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.
“E-pembayaran selamat untuk digunakan. Pihak bank telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikannya bahawa e-pembayran adalah selamat, termasuklah daripada ancaman serangan siber dan scam. Pada masa yang sama, e-pembayaran juga mengurangkan risiko yang akan dihadapi apabila menggunakan wang tunai. Contohnya, kita tidak perlu membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak untuk membuat pembayaran. Peniaga juga tidak perlu membawa wang hasil jualan perniagaan yang berjumlah besar untuk disimpan di bank, justeru menjimatkan kos operasi perniagaan.
“Platform ini juga sangat Senang digunakan. Dengan hanya mengimbas kod QR, pembayaran dapat diselesaikan dalam sekelip mata. Bagi peniaga, proses pendaftaran akaun DuitNow QR juga lebih mudah, terutama jika peniaga sudah mempunyai akaun dengan bank atau e-dompet tersebut. Malah ia tidak memerlukan penyelenggaraan.
“Seterusnya, penggunaan e-pembayaran seperti DuitNow QR, membolehkan pembayaran diterima dengan Segera dan terus ke dalam akaun peniaga. Bagi peniaga, transaksi perniagaan yang direkodkan secara langsung akan memudahkan pengurusan aliran tunai. Data yang direkodkan ini mampu membina profil kredit peniaga
Sumber Berita : Warta Kedah