GRADUAN BERPRESTASI TINGGI NEGERI KEDAH MAMPU LAHIR SEBAGAI PEMIMPIN UTAMA MASA DEPAN NEGARA

ALOR SETAR (04 November 2024) – Program Graduan Berprestasi Tinggi Negeri Kedah atau Kedah Future Leaders adalah sebagian daripada inisiatif di bawah agenda Cordoba of Kedah iaitu sebuah program induk yang bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan Islam dalam konteks semasa dan masa hadapan negeri. Kerajaan Negeri mempunyai cita-cita untuk mewujudkan satu jaringan anak Kedah berprofesional di masa hadapan dimana anak Kedah yang berpotensi serta mempunyai semangat cintakan negeri akan diasuh dan didorong untuk memegang jawatan-jawatan penting di Kementerian dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat-syarikat Multinasional (MNC).

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof Dr. Haim Hilman Abdullah berkata Kerajaan Negeri percaya kaedah ini akan membentuk satu kelompok pemimpin masa hadapan yang akan menyumbang semula kepada negeri dalam pelbagai bentuk dan kapasiti apabila anak Kedah memegang jawatan-jawatan penting.

“Ini adalah hasrat Kerajaan Negeri dan memerlukan pelatih Program Kedah Future Leaders untuk turut sama mempunyai cita-cita tersebut serta berpendapat tidak hanya boleh menunggu secara semulajadi bagi mendapatkan pelapis pemimpin negara dan negeri tetapi perlukan pendekatan proaktif untuk melatih dan melahirkan kelompok tersebut.

“Kerajaan Negeri mengambil pendekatan membentuk generasi pemimpin masa hadapan negara dan negeri secara ‘Dengan Rekaan Bukan Secara Kebetulan’ atau “By Design Not By Chance”. Untuk itu, Program Kedah Future Leaders telah diwujudkan dengan matlamat tersebut.

“Selain itu, saya amat berharap agar para graduan dari mana-mana pusat pengajian tinggi sama ada awam atau swasta yang berasal dari Negeri Kedah sentiasa ada semangat dan jatidiri untuk berusaha membina kerjaya yang sesuai sehingga berjaya menjadi pemimpin di masa hadapan, bukan sahaja dapat membanggakan keluarga tetapi juga sebagai pemimpin yang terbaik untuk negara khasnya Negeri Kedah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian di Majlis Penyerahan Watikah Kepada Pelatih Program Graduan Berprestasi Tinggi Negeri Kedah Darul Aman (Kedah Future Leaders) Tahun 2024 di Dewan KCS, INSPIN di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Dato’ Elmi Yusoff; Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Negeri Kedah, Sunita Abdul Aziz; Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Negeri, Mohd Tarmizi Abdul Rani dan Ketua penolong Setiausaha Kerajaan (Perkhidmatan) Bahagian Sumber Manusia Negeri Kedah, Mohd Tarmizi Saad.

Terdahulu dalam ucapan aluan, Sunita berkata seramai 25 orang graduan telah menerima tawaran menyertai Kedah Future Leaders pada tahun ini berbanding 31 orang yang telah terpilih manakala seramai 164 orang telah membuat permohonan, dari jumlah tersebut seramai 97 orang telah dipanggil untuk temuduga. Hanya 57 orang sahaja yang hadir temuduga yang telah diadakan bermula 7 hingga 9 Oktober yang lalu.

“Program ini adalah merupakan siri yang keempat yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan telah melalui beberapa perubahan bagi tujuan penambahan untuk kebaikan dan keperluan semasa. Latar belakang program ini dimulakan dengan program Internship Mahasiswa Anak Kedah (IMAN) 1.0 pada tahun 2014 dan IMAN 2.0 tahun 2017 yang telah diuruskan oleh MBI.

“Sesuai dengan peredaran zaman dan evolusi terkini program ini diwujudkan semula pada tahun 2020 dengan penjenamaan baharu iaitu ‘Kedah Future Leaders’ dan kini pada tahun 2024 program ini diteruskan dengan beberapa penambahbaikan dari segi modul program di mana pelatih akan menjalani latihan melalui aktiviti dalaman dan juga luaran.

“Tempoh pelaksanaan program selama enam bulan bermula 3 Nov hingga 30 Apr 2025 ini, Para Graduan akan ditempatkan di Pejabat SUK Kedah (BPEN, Sekretariat SUK dan lain-lain), Pihak Berkuasa Tempatan dan GLC Negeri seperti KTPC, KXP Airportcity Holding, BDB, SADA, MSN dan lain-lain.

“Selain ditempatkan di jabatan-jabatan, pelatih akan diberi latihan dan modul secara bersepadu oleh INSPIN dari masa ke semasa. Terdapat 11 kursus yang akan diwajibkan kepada peserta antaranya melibatkan Program Pengukuhan Kepimpinan bersama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kursus Kemahiran Komunikasi, Kursus Profesional Berteraskan Nilai, Program The Greater Kedah, Kursus Kemahiran Komunikasi dan lain-lain.

“Program Kedah Future Leaders adalah satu program Kerajaan Negeri yang telah dijalankan bagi tujuan untuk membekalkan pengalaman pekerjaan berprestasi tinggi kepada mahasiswa Anak Kedah. Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN) telah dilantik untuk melaksanakan program ini,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah