94 BUAH SEKOLAH AGAMA TERIMA SET PENDIGITALAN SMART TV DAN PROJEKTOR LCD

KULIM (29 Oktober 2024) – Kerajaan Negeri Kedah berusaha untuk memastikan 94 buah sekolah agama rakyat termasuk 13 buah sekolah di bawah Lembaga Maktab Mahmud akan mendapat satu set Program Pendigitalan iaitu Smart TV dan Projektor LCD dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini dengan 31 buah sekolah diikuti dengan sekolah lain pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat berkata seiring dengan perkembangan teknologi adalah amat penting bagi kita untuk memastikan sekolah-sekolah agama kita turut maju ke hadapan. Dengan pendigitalan, kita bukan sahaja dapat mempercepatkan proses pembelajaran tetapi juga memastikan kandungan pendidikan lebih interaktif dan menarik. Ini termasuk penggunaan alat bantu mengajar digital, platform e-learning dan aplikasi pendidikan yang dapat memudahkan pelajar-pelajar memahami dan menguasai ilmu agama dengan lebih baik.

“Pendigitalan juga membuka peluang bagi pelajar untuk mengakses bahan-bahan pendidikan dari pelbagai sumber, tanpa had waktu dan tempat. Ini akan meningkatkan kecekapan pembelajaran dan membolehkan pelajar mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam dan komprehensif.

“Dalam pendigitalan ini, penggunaan Smart TV dalam pendidikan juga merupakan satu inovasi yang amat bermanfaat. Smart TV menyediakan paparan visual yang jelas dan besar yang mana ia amat sesuai digunakan di bilik darjah untuk menunjukkan video pembelajaran, simulasi interaktif dan bahan-bahan multimedia yang lain. Ini dapat membantu pelajar-pelajar memahami konsep-konsep yang sukar dengan lebih mudah dan efektif.

“Tambahan pula, Smart TV dilengkapi dengan akses kepada internet yang membolehkan para guru mencari dan menunjukkan sumber pendidikan secara langsung semasa sesi pengajaran. Ini menjadikan proses pembelajaran lebih dinamik dan menyeronokkan.

“Semoga dengan sumbangan ini, saya berharap semua pihak akan dapat menjaga dengan baik Smart TV dan Projektor ini dan dapat mengambil manfaat daripada inisiatif ini untuk bersama-sama kita melangkah ke hadapan dalam memperkasa sistem pendidikan kita khususnya bagi pencapai The Greater Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Program Pendigitalan Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah Dan Program Lestari Digital Didik Kedah di Dewan Badminton Kompleks Sukan KTPC, Kulim Hi-Tech Park di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim; Pegawai Daerah Kulim, Mohd Zaini Ramli; Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat Daerah Kulim, Zaidi Zainun; Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kulim Hi Tech Park, Mashdi Ghazali dan Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud, Yusrianuar Jamaludin.

Dalam perkembangan sama, Azam turut melancarkan Program Lestari Digital Didik Kedah khususnya untuk sekolah-sekolah di Negeri Kedah khususnya Sekolah Agama yang antara pengisiannya seperti Seminar Digital Pelajar, Latihan Digital Guru, Pertandingan Digital untuk Sekolah Agama dan Anugerah Murabbi Digital yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Kedah Digital Center pada tahun 2025 nanti.

Sumber Berita : Warta Kedah