PENYUSUNAN, STRATEGI DAN PENDEKATAN PERLU DIUSAHAKAN BAGI MENCAPAI THE GREATER KEDAH – SANUSI

ALOR SETAR (27 Oktober 2024) – Gagasan The Greater Kedah yang diilhamkan oleh Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah melalui titah diraja adalah sebuah gagasan besar meliputi seluruh aspek yang berkepentingan negeri untuk generasi hari ini serta generasi yang akan datang bergerak menuju masa hadapan dengan melangkaui batas masa.

Usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Negeri Kedah untuk menjadi lebih hebat masa ini perlu melibatkan usaha pemerkasaan dan pemberdayaan dalam pelbagai aspek terutama ekonomi, sosial, pengurusan hasil bumi, fiskal negeri, tadbir urus, perundangan, kehakiman syariah negeri serta kerjasama srategik, perancangan geopolitik serta aspek-aspek lain yang relevan dengan situasi dan keperluan semasa.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata hari ini kita melihat satu penjenamaan kepada usaha-usaha yang sedang berjalan sama ada Pelan Pembangunan Kedah 2035, pelan industri, kemasukan pelaburan begitu rancak, kerja-kerja dari segi kebajikan dan semua ini dihimpun dalam satu gagasan The Greater Kedah yang akan dilalui begitu panjang yang kita sasarkan selama 100 tahun tetapi dipendekkan hingga 2050 sahaja.

“Dalam tempoh 25 tahun akan datang kita akan ukur pencapaian akhir tetapi dalam penjalanan itu kita mempunyai ‘milestone’ sejauh mana sasaran untuk mencapai The Greater Kedah yang akan dianalisa dari semasa ke semasa.

“Jadi penyusunan, strategi, pendekatan apabila digabungkan akan menghasilkan buku kerangka kerja The Greater Kedah di sebabkan penyusunan itu memerlukan struktur yang disusun oleh kumpulan pelaksana yang dipimpin oleh Prof Haim Hilman tetapi konsep-konsep umum adalah apabila kita sering cakapkan, laungkan, perjuangkan, perkatakan berkenaan The Greater Kedah ini.

“Pengorbanan negeri ini dari segi air dan sawah padi haruslah dibayar setimpal dengan pengorbanan tersebut dan perjuangan ini merupakan salah satu dari gagasan The Greater Kedah bagi mendapatkan hak yang sepatutnya kepada negeri ini.

“Apabila kita mengatakan kita mempunyai projek-projek iconik yang akan membawa ‘game changer’ ekonomi kepada Kedah, kita akan usahakan projek-projek itu sampai berjaya dan apa yang membantut usaha-usaha itu kita akan tempuh satu persatu tanpa henti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pelancaran The Greater Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zubir Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata anak-anak Kedah mesti kita beri galakan, motivasi dan kesedaran untuk mereka bersedia dari segi emosi, jasmani, rohani serta pendidikan untuk rebut semua peluang yang datang ke negeri ini dan jangan membiarkan peluang itu terlepas kepada orang negeri lain yang berhijrah ke sini memandang kita tidak bersedia dari segi aspek-aspek tersebut.

“Kerajaan Negeri banyak menyediakan peluang-peluang pendidikan dalam bidang-bidang yang sesuai dengan keperluan pasaran untuk anak-anak Kedah bangkit bagi merebut peluang ini untuk diri dan keluarga kerana kejayaan-kejayaan pada masa hadapan dibina di negeri ini adalah berdasarkan pengetahuan, kemahiran tanpa kebergantungan bantuan oleh manusia semata-mata.

“Kita mahukan masyarakat negeri ini dibina berasaskan ilmu pengetahuan, keupayaan dan kemahiran yang seseorang itu berusaha untuk kecapinya barulah negeri ini boleh menjadi The Greater Kedah.

“Semua konsep-konsep yang telah diterangkan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini dengan kerjasama semua pihak merupakan satu perjalanan dalam menjayakan serta mencapai gagasan The Greater Kedah ini,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah