MPKP LANCAR SMART KUBANG PASU

JITRA (24 Oktober 2024) – Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) dengan kerjasama Kumpulan HeiTech Padu Berhad melaksanakan sistem ‘Smart Kubang Pasu,’ iaitu sistem letak kereta pintar berteknologi terkini di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kubang Pasu bagi meningkatkan kecekapan pengurusan tempat letak kereta melalui penggunaan teknologi pintar yang memudahkan pengguna mencari tempat letak kereta yang kosong dengan cepat dan mudah.

Smart Kubang Pasu akan dibangunkan oleh HeiTech Padu Berhad (HeiTech) secara konsesi selama 10 tahun sehingga tahun 2034. Projek Smart Kubang Pasu ini bertujuan untuk merevolusikan pengurusan dan sistem kutipan bayaran parkir dengan memanfaatkan gabungan Internet Benda (“IoT”), Kecerdasan Buatan (“AI”) dan teknologi Pengkomputeran Awan dengan sistem navigasi dan sistem pembayaran dalam talian.

Yang Dipertua MPKP, Badrulhisham Sulaiman berkata Smart Kubang Pasu merupakan suatu titik perubahan sistem konvensional yang digunapakai selama ini ke arah penggunaan sistem berteknologi khususnya dalam pengurusan tempat letak kereta awam dalam daerah Kubang Pasu. Pelaksanaan Smart Kubang Pasu adalah selari dengan agenda Majlis Perbandaran Kubang Pasu untuk mewujudkan bandar pintar yang akan menjadi nilai tambah kepada kesejahteraan warga Kubang Pasu.

“Selain itu juga, penggunaan Smart Kubang Pasu dapat menyokong kepada pemurnian bandar rendah karbon yang mana sistem ini dapat membantu mengurangkan jangka masa penggunaan petrol dan diesel. Ini kerana, aplikasi Smart Kubang Pasu dilengkapi dengan maklumat ketersediaan petak-petak parkir yang boleh digunakan kepada pengguna dan ianya akan menjimatkan masa pengguna untuk mendapatkan petak-petak parkir ini.

“Majlis Perbandaran Kubang Pasu mensasarkan akan melaksanakan Smart Kubang Pasu sepenuhnya menjelang awal tahun 2025 dan pengguna disarankan untuk memuat turun aplikasi Smart Kubang Pasu ini bagi memudahkan urusan masing-masing kelak.

“Smart Kubang Pasu akan dilaksanakan berdasarkan model Private Funding Initiative (PFI) dan melibatkan dua fasa. Dalam fasa pertama, projek ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan fungsi “Park and Pay” melibatkan integrasi ciri-ciri seperti pembayaran parkir digital, pas bulanan dan pembangunan aplikasi awam Smart Kubang Pasu. Setakat ini, aplikasi awam Smart Kubang Pasu telah “Go-Live” dan boleh dimuat turun melalui platform Play Store, App Store dan Huawei AppGallery bermula 17 September yang lalu. Manakala bagi fasa kedua yang dijadualkan bermula pada awal tahun 2025, akan melibatkan pemasangan sensor untuk 500 tempat letak kereta, penambahbaikan portal Smart Kubang Pasu, sistem sokongan dan aplikasi penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Majlis Pelancaran Smart Kubang Pasu di Pekarangan Pasaraya Yawata di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibarhim; ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir; Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, DSP Chien Chunng Tsaur dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HeiTech Berhad, Salmi Nadia Mohd Hilmey.

Terdahulu, Salmi Nadia dalam ucapan aluannya berkata Smart Kubang Pasu adalah contoh terbaik kepada jalinan kerjasama awam dan swasta yang dirintis antara pihak HeiTech dan MPKP. Ini adalah satu pencapaian penting kepada HeiTech dan MPKP kerana ianya mencerminkan aspirasi dan komitmen kedua-dua belah pihak terhadap pembangunan bandar pintar mampan yang berteraskan inovasi, teknologi terkini dan kelestarian alam sekitar.

“Penyelesaian tempat letak kereta pintar seperti Smart Kubang Pasu adalah sebahagian daripada sumbangan HeiTech kepada Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia yang sejajar dengan misi HeiTech untuk membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membangunkan bandar masing-masing sebagai bandar pintar.

“Penyelesaian tempat letak kereta atau Park Smart Plus (PS+) yang ditawarkan HeiTech mempunyai kelebihan tersendiri yang berbeza dengan penyelesaian lain di pasaran. Antara kelebihan Park Smart Plus (PS+) termasuk penggunaan teknologi terkini seperti sensor dan sistem penjejakan global (GPS) yang akan memberi panduan kepada pemandu untuk ke tempat letak kereta yang tersedia berdasarkan maklumat masa nyata dalam aplikasi mudah alih sama ada melalui telefon bimbit atau sistem infotaimen di kenderaan masing-masing.

“Apabila beroperasi sepenuhnya, inisiatif transformasi digital ini dijangka memberi pelbagai manfaat kepada MPKP antaranya ialah pengurusan tempat letak kereta yang lebih cekap dengan mengoptimumkan penggunaan petak letak kereta, menjimatkan masa, mengurangkan kesesakan lalu lintas, meminimumkan pelepasan karbon, sekali gus membantu ke arah persekitaran yang lebih sihat. Sistem ini juga akan memainkan peranan dalam meningkatkan hasil dengan pengurusan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan yang lebih cekap dan berkesan,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah