SEMUA PIHAK DISERU GEMBLENG TENAGA BANTU KERAJAAN PELIHARA GOLONGAN OKU, KANAK-KANAK DAN WARGA EMAS

ALOR SETAR (17 Oktober 2024) – Kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas. Sebagaimana sedia maklum bahawa sambutan Hari Kanak-kanak, OKU dan Warga Emas sedunia yang diadakan setiap tahun adalah bagi semua orang meraikan serta mengiktiraf sumbangan dan peranan mereka di samping memastikan kesejahteraan mereka terus terbela dan terjaga. Golongan ini perlu disayangi dan dijaga dengan kasih sayang.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata Kerajaan Negeri amat prihatin dan membuat persediaan yang rapi bagi mewujudkan golongan ini dengan sikap berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui kesihatan, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

“Komitmen dan semangat yang tidak berbelah bahagi amat diperlukan daripada seluruh rakyat negeri Kedah untuk sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup golongan ini di dalam negeri ini serta meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Sambutan Hari Kanak-Kanak yang diadakan setiap tahun tidak hanya tertumpu kepada majlis sambutan sahaja, bahkan turut membuka ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk mengambil bahagian dalam pelbagai acara dan pertandingan yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka.

“Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri Kedah sangat rapat di hati saya kerana OKU adalah insan yang sangat istimewa. Justeru, pada hari ini saya berasa bangga kerana dapat berkongsi kegembiraan bersama-sama semua pihak yang terlibat dalam meningkatkan kesejahteraan OKU di negeri Kedah.

“Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis ini telah menguatkan lagi keyakinan saya mengenai sokongan padu dan penggemblengan tenaga serta sumber yang berterusan daripada semua pihak ke atas segala usaha Kerajaan Negeri dalam memelihara kepentingan OKU di negeri Kedah.

“Saya dimaklumkan bahawa “Penuaan Secara Bermaruah : Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas” merupakan tema sambutan Hari Warga Emas pada tahun ini dan ianya sangat signifikan dengan situasi semasa mengenai usaha Kerajaan Negeri memartabatkan warga emas di Negeri Kedah terutama dalam penjagaan warga emas sebagai persediaan Kedah ke arah negeri menua tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, OKU Dan Warga Emas Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.

Dalam majlis sama, Sanusi turut menyampaikan hadiah-hadiah termasuk hadiah Anugerah Khas Kanak-kanak Negeri Kedah Tahun 2024, Anugerah Khas Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) dan Anugerah Khas Perkhidmatan Kanak-kanak Daerah manakala Anugerah Khas ketegori OKU pulak termasuk Anugerah Khas OKU Fizikal, Anugerah Khas Penyelia PPDK, Anugerah Khas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan Anugerah Khas Perkhidmatan OKU Daerah.

Selain itu, Anugerah Khas Warga Emas juga disampaikan kepada pemenang iaitu Faridah Ahmad, 71, Exco LPIM Peringkat Kebangsaan berasal dari Alor Setar manakala Anugerah Khas Penyelia Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dimiliki oleh Zuraider Md Daud, 56, dari Kulim. Bagi Anugerah Khas PAWE Negeri Kedah jatuh kepada PAWE Kota Setar dan Anugerah Khas Perkhidmatan Warga Emas Daerah jatuh kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar.

Sumber Berita : Warta Kedah