KULIM (12 Oktober 2024) – Dalam dunia kini yang semakin berkembang pesat, teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk kehidupan pelajar. Melalui pendidikan digital, pelajar dapat mencari bahan pembelajaran, menonton video tutorial, mengikuti kursus dalam talian dan banyak lagi. Pendidikan kini tidak lagi terhad kepada bilik darjah sahaja malah pelajar boleh belajar di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin bertitah dalam menghadapi kemajuan ini, pelajar juga perlu berhati-hati dan bertanggungjawab. Internet ialah ruang yang luas dan tidak semua maklumat yang pelajar peroleh adalah benar. Murid-murid perlu bijak menilai sumber maklumat dan memastikan kita hanya menggunakan bahan yang sahih dan berkualiti.
“Teknologi ini perlu digunakan dengan bijak, beretika dan bertanggungjawab. Semoga pendidikan digital ini akan menjadi alat yang membantu kita mencapai kejayaan, bukan sahaja dalam pelajaran, tetapi juga dalam kehidupan kita pada masa hadapan. Selain itu, media sosial juga hendaklah digunakan dengan cara yang berhemah. Ketika meninggalkan komen atau pandangan di media sosial, gunakanlah bahasa yang beradab kerana komen atau ayat-ayat kita itu mencerminkan peribadi kita.
“Kita juga tidak boleh mengabaikan peranan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan. Kecerdasan buatan kini memainkan peranan yang semakin penting dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dalam bidang pendidikan. Penggunaan AI dapat membantu memperkayakan pengalaman pembelajaran dan meningkatkan keberkesanan pengajaran.
“Sebagai contoh, AI dapat digunakan untuk mencipta bahan pembelajaran yang disesuaikan dengan keperluan dan kemampuan setiap murid. Selain itu, AI juga boleh digunakan untuk menyediakan maklum balas segera kepada murid, membantu mereka memahami konsep-konsep yang sukar dengan lebih baik.
“Namun, penggunaan teknologi AI dalam pendidikan juga membawa cabaran tersendiri. Oleh itu, penting bagi murid untuk menggunakan AI sebagai alat sokongan untuk menyiapkan kerja sekolah mereka bukannya menyalin terus kerja-kerja yang dibuat menggunakan AI. Murid juga harus mengendalikan AI dengan bijak untuk mencipta karya akademik yang benar-benar mencerminkan kemampuan dan pemahaman mereka,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Majlis Pemasyhuran Dan Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Sarafudin Badlishah Tahun 2024 di Dewan As-Syafie, SMK Tengku Sarafudin Badlishah di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Wan Hashim Wan Rahim; Pegawai Daerah Kulim, Mohd. Zaini Ramli; Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, Dr. Rusmini Ku Ahmad; Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman dan Pegawai Pendidikan Daerah Kulim/Bandar Baharu, Abdul Rashid Abdul Rahman.
Dalam perkembangan sama, Tengku Sarafudin turut berharap pelajar-pelajar sentiasa aktif dalam bidang sukan kerana sukan merupakan salah satu cara terbaik untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental. Melalui sukan, pelajar bukan sahaja dapat membina tubuh yang sihat, tetapi juga membentuk disiplin, kerjasama, dan kepimpinan.
“Murid-murid dinasihatkan supaya tidak hanya menjadi ulat buku atau ‘bookworm’ sahaja. Sebaliknya, bersukan dan aktiviti kokurikulum adalah penting dalam pengajian di sekolah. Sukan dan kokurikulum ialah kunci untuk membentuk murid yang seimbang dan berketerampilan. Jika murid-murid mempunyai bakat dalam acara sukan, mereka boleh dilatih untuk menjadi atlet cemerlang di peringkat sekolah, daerah, negeri malah negara.
“Dengan itu, saya menyeru semua murid untuk bersama-sama aktif bersukan dan pada masa yang sama, terus berusaha dalam akademik. Jadikan aktiviti sukan sebahagian daripada rutin harian. Sertailah badan beruniform, kelab dan sukan di sekolah, aktif dalam pertandingan dan libatkan diri dalam pelbagai jenis aktiviti fizikal.
“Harapan saya adalah untuk melihat Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Sarafudin Badlishah ini menjadi sebuah institusi pendidikan yang terunggul dan mampu melahirkan murid-murid yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi di masa hadapan,” ujar Baginda.
Sumber Berita : Warta Kedah