BALING (02 Oktober 2024) – Kerajaan Negeri Kedah telah membuat persediaan awal bagi menghadapi sebarang risiko bencana di negeri ini ekoran perubahan iklim sewaktu peralihan monsun sekarang ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata beliau dan wakil Kerajaan Negeri dan Jabatan mengadakan lawatan pada hari ini adalah atas kebimbangan pihak kerajaan tentang keadaan banjir yang telah terjadi dan kemungkinan akan berlaku lagi akibat dari peralihan monsun yang dijangka akan membawa hujan lebat dan ini akan mengakibatkan aliran yang deras melalui sungai Iboi di mana baru-baru ini berlaku aliran dan banjir yang hampir mencecah paras jambatan di sungai ini.
“Selain jambatan Bailey di Sungai Iboi ini, saya juga dibawa melawat satu projek mengorek dan meluruskan aliran sungai serta mengeluarkan semua batu-batan dan bahan-bahan yang menyekat aliran sepanjang lima kilometer melalui sungai ini.
“Kita mengharapkan dengan jarak tersebut, aliran air akan berjalan dengan lancar dan tidak akan mengganggu struktur jambatan ini serta struktur tebing melalui kawasan-kawasan berisiko yang pernah berlaku runtuhan seperti sebelum ini.
“Berkenaan pembinaan Empangan Sabo, sudah ada penandaan lokasi, projek jambatan juga sudah dalam peringkat reka bentuk dan kerja pembinaan dijangka akan dilaksanakan tahun hadapan, manakala projek pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan jambatan Bailey akan dibuka tender pada Januari 2025 nanti.
“Adalah menjadi harapan kerajaan agar dengan dua projek ini akan membantu menyelesaikan masalah aliran kepala air di Iboi ini akan dapat diatasi kerana untuk menyekat air bukan dibawah kuasa manusia tetapi adalah dengan kehendak Allah SWT, namun kita sebagai manusia hanya mampu menyediakan prasarana setakat yang mampu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke kuari pembersihan sungai di Kampung Bukit Iboi dan Jambatan Bailey di Sungai Iboi, Mukim Kupang di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Ashah Ghazali; Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Dato’ Najmi Ahmad dan Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya.
Dalam lawatan sama, Sanusi dan rombongan turut melawat projek Pembinaan 17 Unit Rumah Ganti Dan Kemudahan Awam kepada Mangsa Banjir Puing Kampung Iboi Fasa 2 di Kampong Bok Bak yang telah bermula sejak Mac 2024 yang lalu dan setakat ini telah mencapai 26 peratus, iaitu satu peratus lebih awal dari perancangan dan dijangka siap pada Mac tahun hadapan.
Sumber Berita : Warta Kedah